Hadi pun ‘Melayu mudah lupa’, dulu minta ahli Pas sokong DAP

Haji Hadi terus menggomel. Dari laras bahasa perjuangan Islam kini bertukar kepada Melayu. Terbaru Presiden Pas meminjam slogan kata Tun Dr Mahathir Mohamad – “Melayu mudah lupa” untuk menyerang Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

Hadi menuduh orang Melayu yang menyertai Pakatan Harapan (PH) ialah Melayu yang mudah lupa, khususnya para pemimpinnya juga mudah lupa.

Hadi masih tidak dapat menerima hakikat bahawa UMNO/BN kini telah menyertai Kerajaan Perpaduan dan menerima kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selain menerima kehadiran anggota PH iaitu DAP sebagai rakan baharu.

Dulu lawan kini kawan – demikian slogan baharu yang dilaungkan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pertengahan bulan lalu.

Tapi Hadi terus mahu melaungkan “No DAP! No Anwar!”.

Agaknya Hadi juga Melayu mudah lupa bahawa dalam kempen pilihan raya kecil Teluk Intan pada 2014, beliau dengan bersemangat penuh yakin meminta anggota Pas supaya sokong DAP, sokong calon Melayu DAP pertama, Dyana Sofya Mohd Daud.

“Banyak janji kepada rakyat sebelum pilihan raya ditaburkan sama ada secara tulisan ataupun ucapan lidah yang tidak bertulang. Janji mudah itu adalah seperti menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam sekiranya menjadi kerajaan, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan tol, dan banyak lagi.” demikian Hadi mengulangi tuduhan sama ke atas PH.

Perkara-perkara tersebut sebenarnya tidak terkandung dalam dokumen manifesto PH dalam kempen PRU-14.

Namun Hadi juga mudah lupa bahawa Pas bersama Bersatu dan puak pengkhianat PKR telah bersama-sama menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14.

Sepatutnya mandat bagi melaksanakan semua manifesto diberikan sehingga habis penggal dan bukannya di pertengahan jalan.

Selain mudah lupa, Hadi juga boleh dipertikaikan cara congakan matematiknya yang semborono. Seperti sebelum ini asyik dakwa cukup jumlah (Ahli Parlimen) nak tubuh kerajaan tetapi sebenarnya hanya angan-angan.

Hadi berkata; “Timbul kenyataan bahawa mereka mengajak PAS untuk sama-sama menyertai Kerajaan Perpaduan yang dipimpin mereka, tanpa menghormati bahawa Perikatan Nasional (PN) didominasi oleh Melayu Islam Bumiputera dengan 74 kerusi.

“Adapun PH didominasi oleh bukan Islam, dengan kalangan liberal PKR adalah sebanyak 30 kerusi (19 orang Melayu Islam dan Islam liberal manakala 11 orang nyata bukan Melayu dan bukan Islam), bersama DAP sebanyak 40 kerusi dengan tiga orang daripadanya adalah Melayu.

“Selepas itu, mereka menghantar broker pula untuk memujuk sama ada dari dalam negara mahupun luar negara. Maka, PN khususnya PAS menolak semua tawaran dan menolak segala janji yang tidak boleh dipercayai, kerana PAS ialah Melayu yang tidak lupa.” ujar Hadi.

Hakikatnya Hadi yang sebenarnya mudah lupa – bahawa Kerajaan Perpaduan sekarang didukung oleh 148 ahli Parlimen. Ia didukung oleh Ahli-ahli Parlimen yang mewakili seluruh kaum, agama dan etnik di negara ini. Lebih majoriti dua pertiga. Malah Pas disekolahkan oleh DAP bahawa kerajaan Malaysia Madani tetap dikuasai oleh majoriti Ahli Parlimen Melayu Islam.

Nikmat apa lagi yang Hadi cuba dustakan?

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sendiri dalam Konvensyen Perpaduan menegaskan “fakta sebenarnya dengan sendiri mematahkan hujah pihak pembangkang yang menuduh kerajaan didominasi oleh DAP susulan penyertaaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan”.

“Jadi untuk patahkan hujah ada pihak hari ini mengatakan oleh kerana ada DAP dalam kerajaan, maka ia didominasikan oleh DAP. Biar fakta berbicara, kerajaan hari ini didukung oleh 148 Ahli Parlimen.

“Terdapat seramai 77 Ahli Parlimen Bumiputera Islam, 43 (Cina) dan India (12), maksudnya majoriti didukung oleh Melayu Islam,” katanya.

BACA JUGA: “Biar fakta berbicara, DAP tidak dominasi Kerajaan Perpaduan” – Anthony Loke