Kajian Endeavour MGC beri bayangan sokongan menjelang PRN 6 negeri

Tidak sampai sebulan dari sekarang, enam Dewan Negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah serta Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan dibubarkan.

Selepas dibubarkan, SPR mempunyai masa selama 60 hari untuk melaksanakan pilihan raya negeri (PRN) di  enam negeri berkenaan.

Pilihan raya ini diadakan selepas ke enam-enam kerajaan negeri mereka tidak mahu menyertai PRU-15 kerana ia diadakan di musim tengkujuh.

Yang menariknya, PRN ini akan menjadi kayu pengukur setakat mana sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas PRU-15 lalu.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Endeavour MGC pada 14 – 18 April lepas, gabungan PH dan BN paling popular di kalangan rakyat negara ini.

56% dari rakyat semua kaum memilih gabungan Kerajaan Perpaduan itu sedangkan Perikatan Nasional (PN) hanya 17% sahaja.

Yang menariknya, gabungan PH+BN ini juga mendapat sokongan tinggi di kalangan orang Melayu apabila mendapat 44% sokongan berbanding PN 26% sahaja padahal mereka mendakwa parti yang mendapat sokongan utama bangsa Melayu.

Kajian Endeavour MGC pada 14 – 18 April 2023 menunjukkan Anwar paling popular termasuk di kalangan respondan Melayu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendapat tempat yang sangat baik di kalangan rakyat negara ini. 46% rakyat pelbagai kaum menyokong beliau sedangkan Tan Sri Mahiaddin hanya mendapat 17% sahaja.

Di kalangan orang Melayu, PM Anwar juga mendapat undian tertinggi iaitu 32% manakala Mahiaddin hanya 25% walaupun dalam PRU-15 lalu PN yang dipimpin beliau mendapat sokongan yang dikatakan tinggi di kalangan pengundi Melayu.

Jika kajian yang dibuat ini diterjemahkan ke dalam kertas undi dalam PRN di enam negeri nanti, maka sudah tentu PH+BN akan berjaya mengekalkan tiga negerinya iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Bahkan, dalam masa yang sama bakal menggugat tiga negeri PN sekarang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Apa yang akan menentukan arah undi rakyat ketiga-tiga negeri ini? Ini isu yang paling penting dan sedang diperhatikan oleh pelbagai pihak.

Jika mereka dapat mengenalpasti apa yang dikehendaki oleh pengundi, maka strategi yang tepat dapat dirangka oleh parti-parti politik yang bertanding untuk meraih undi rakyat di ke enam-enam negeri ini.

Jika kajian Endeavour MGC ini mewakili sentimen pengundi di ke enam-enam negeri yang akan berdepan dengan PRN ini, sudah pasti parti-parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan akan mendapat tempat yang baik dalam PRN ini.

Dalam PRN kali ini, PH+BN jelas mahu kekalkan tiga negeri yang diperintah oleh mereka sekarang. Dalam masa yang sama, mereka mahu ambil kembali Kedah dari tangan Pas. Ia dibayangkan oleh serangan bertalu-talu ke atas Kedah sekarang walaupun punca serangan sebenarnya dari Pas sendiri iaitu MB Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor.

Di Kelantan dan Terengganu, PH+BN lebih berhasrat untuk menjadi pembangkang yang kuat. Ini kerana, dengan kedudukan sekarang, rakyat kedua-dua negeri itu berada di pihak yang paling rugi.

Rugi kerana suara mereka tidak boleh sampai ke tampuk kuasa iaitu Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu. Mereka hanya boleh bising di media sosial sahaja. Oleh itu, menjadi tugas pemimpin PH+BN untuk meletakkan calon yang benar-benar diyakini rakyat dapat menyampaikan suara mereka dalam PRN ini.

Di Kelantan, ada dua suara yang menonjol sekarang. Kedua-duanya adalah tokoh anak muda iaitu Hazmi atau Jeming Hassan di pihak PH dan Wan Mahusin di pihak BN.

Di Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin (Pengerusi PH Negeri), Datuk Seri Ahmad Said (Pengerusi BN negeri) dan Mohamad Zamir Ghazali (Ketua Pemuda AMANAH negeri) wajar mendapat perhatian khusus para pengundi.

Kesemua tokoh ini wajar dipastikan PH+BN menjadi calon dikerusi yang sesuai dalam PRN ini dan menjadi tugas pengundi untuk memastikan mereka menang dan menjadi wakil rasmi mereka di dalam DUN Kelantan dan Terengganu.

Rakyat tentu lebih tahu bagaimana mereka perlu membuat keputusan dalam PRN akan datang.

 

BACA JUGA Skandal AKSB boleh sebabkan Pas terpelanting di Kelantan

JUGA Anwar pilihan nombor satu rakyat sebagai Perdana Menteri