Keperluan rakyat miliki rumah selesa, harga berpatutan jadi keutamaan

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan akan sentiasa cakna dengan suara rakyat terutamanya berkaitan keperluan pemilikan kediaman yang selesa dan harga berpatutan.

Perdana Menteri berkata secara keseluruhan, kerajaan menyasarkan pembinaan 200,000 unit kediaman untuk penjawat awam di seluruh negara dengan harga rumah mampu milik di bawah RM300,000.

“Alhamdulillah di Putrajaya, setakat ini sejumlah 9,480 unit PPAM Madani sudah siap untuk didiami dengan sumbangan nilai subsidi RM25,000 sehingga RM38,000 seunit bergantung kepada saiz rumah.

“Justeru itu, setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih tidak terhingga di atas sokongan serta komitmen semua pihak yang terlibat dalam projek penbangunan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur atau PPAM Madani Dalur di Putrajaya, hari ini.

Pembangunan skim perumahan PPAM Madani bertujuan mengatasi masalah pemilikan rumah oleh kumpulan B40 dan M40 khusus penjawat awam.