PM Anwar lancar tabung kebajikan, pelajaran bantu rakyat ibu kota susah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan.

Beliau yang juga Pengerusi YWP berkata ramai kalangan rakyat khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan masih bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Di sinilah pentingnya peranan YWP yang selama ini telah membantu golongan rentan melalui lima konsep program utamanya iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (PESAT),” ujar beliau ketika merasmikan pelancaran itu di Putrajaya hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata YWP ditubuhkan bagi menjuarai isu-isu berkaitan pendidikan yang disaksi melalui lebih 20 skim bantuan merangkumi pelajar sekolah rendah, menengah hingga ke menara gading.

“Jika dihitungkan jumlah yang dibelanjakan demi mencapai sifar miskin di Wilayah Persekutuan pasti tidak ternilai jumlahnya jika YWP berseorangan. Namun saya difahamkan semua agensi kerajaan telah pun bekerjasama selama ini.

“Pelancaran tabung ini menjadi titik menyerlah dalam merangkumkan penyertaan golongan korporat dan orang perseorangan dalam meneruskan ikhtiar secara bersepadu untuk membantu golongan miskin bandar,” ujar beliau.

Anwar berkata hasil usaha sama dengan agensi kerajaan dan badan korporat menjadi penanda aras dalam membudayakan nilai ihsan seperti yang terkandung dalam kerangka Malaysia Madani.

Turut hadir pada majlis pelancaran tabung itu ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj.

Hadir samaa Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Antara syarikat korporat yang menyumbang adalah Tahap Warisan Sdn Bhd, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Petronas dan lain-lain.

Untuk rekod, sepanjang lima tahun kebelakangan ini, YWP yang telah ditubuhkan sejak 37 tahun lalu telah membelanjakan hampir semua tabungan mencecah lebih RM100 juta melalui pelbagai bentuk program-program kebajikan.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyarankan mana-mana badan amal dan yayasan menghantar laporan lengkap kepada penderma bagi memastikan ketelusan pengurusan dana awam.

Menurutnya, saranan itu akan dimulakan dengan YWP dalam masa terdekat.

“YWP akan memulakan tradisi baharu, siapa yang menderma akan mendapat laporan dari pengurusan, wang yang didermakan itu digunakan untuk apa.

“Ini penting dan saya berharap badan-badan amal yang sudah derma, RM100,000 lepas itu jangan hilang dengan surat terima kasih,” kata beliau.

Jelasnya, langkah tersebut akan memberikan keyakinan kepada penderma bahawa badan amal memandang serius dan telus dalam menguruskan sumbangan.

“Saya mahu pastikan hal sedemikian ini dilaksanakan dan saya mahu dalam tempoh yang singkat, YWP mulai dari sekarang kita adakan kaedah yang telus, pengurusan yang baik, laporan kepada penyumbang sama ada majlis agama, atau wang zakat.

“Kita mahu seperti RM1 juta wang zakat itu diberikan itu yang kami belanjakan dan diaudit,” ujarnya.