Rayer sahut seruan Lim, buat laporan polis terhadap Sanusi

Ahli parlimen Jelutong, RSN Rayer telah menyahut seruan pengerusi kebangsaan DAP Lim Guan Eng dengan membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ekoran daripada tuntutan Sanusi bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

“Ini adalah kali pertama keabsahan Pulau Pinang telah dipersoal. Pagi ini saya telah buat laporan polis kedua terhadap Sanusi di mana dia dipetik berkata oleh Sinar Harian berkata bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri Kedah.”

“Saya buat laporan bukan sahaja kerana nak pertahan hak rakyat pulau pinang dan pulau pinang tetapi kebih dari itu bela keabsahan perlembagaan persekutuan dan kuasa Yang Di Pertuan Agong.

“Ini kenyataan tidak bertanggungjawab, melampau dan saya tuntut MB Kedah tarik balik kenyataan tersebut. Tindakan berulangkali mengatakan Pulau Pinang milik Kedah boleh ditafsirkan sebagai hasutan yang boleh menyebabkan huru-hara dan rusuhan di kalangan rakyat.

Rayer turut mengulas kenyataan Sanusi yang mahukan perlembagaan dipinda berkenaan perkara ini.

“Maksudnya, dia sudah sedar bahawa Pulau Pinang salah satu daripada negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan di Persekutuan Malaysia. Kenyataan ini tidak berasas kurang cerdik dan boleh bawa gangguan kepada ketenteraman awam dan huru-hara.”

Sanusi cabar kuasa Agong

Rayer membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang. Beliau turut ditemani Lim, ahli -ahli parlimen, senator, ahli dewan undangan negeri dan ahli majlis.

Beliau menambah bahawa kenyataan Sanusi juga mencabar bidang kuasa Yang Di Pertuan Agong.

“Untuk seorang Menteri Besar mempertikaikan kedaulatan negeri dan diiktiraf perlembagaan adalah perbuatan melampau kerana turut mempersoal kuasa Yang Di Pertuan Agong melantik Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang.

“Sebagai Menteri Besar, (beliau) perlu bertanggungjawab dan dapatkan nasihat pakar perundangan, bukan buat ucapan sembreno, liar dan sesuka hati sehingga menyebabkan keresahan penduduk dan mengganggu gugat ketenteraman awam dan bangkitkan rasa marah rakyat Pulau Pinang.”

Sementara itu, Lim yang juga Adun Air Putih dan Ahli Parlimen Bagan menyifatkan seruan Sanusi untuk meminda perlembagaan sebagai usaha “padam Pulau Pinang”.

Beliau turut menyatakan bahawa Sanusi menggunakan isu ini sebagai modal politik hingga ke tahap sanggup menggadaikan segala-galanya.

Ini kerana perkara ini tidak diungkitkan sewaktu Perikatan Nasional membentuk kerajaan persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh sudahpun menyatakan pandangan mereka yang selari dengan Rayer dan Lim.