Ringgit jatuh: Anwar minta ahli Parlimen Pas baca laporan kewangan global

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan seorang Ahli Parlimen Pas bahawa kejatuhan nilai ringgit ketika ini disebabkan ketiadaan Menteri Kewangan sepenuh masa.

Sebaliknya, Anwar meminta Ahli Parlimen Bachok Syahir Che Sulaiman untuk meneliti laporan kewangan global mengenai kejatuhan nilai mata wang negara itu.

“Minta orang yang cadang itu, baca laporan ekonomi dan kewangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madanai Dalur di Putrajaya hari ini.

Semalam, Syahir menulis dalam Harakahdaily mendakwa Perdana Menteri yang juga selaku Menteri Kewangan dilihat sukar memberi fokus di kementerian itu kerana bebanan tugas.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengaitkan punca penyusutan ringgit berbanding dolar disebabkan ketidaktentuan ekonomi global.

BNM turut mengingatkan bahawa prestasi ringgit berbanding dolar atau mana-mana mata wang tidak menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia yang dijangka terus berkembang empat hingga lima peratus tahun ini.

“Pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran dan BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan yang meningkat.

“Bagi tujuan ini, operasi pasaran BNM akan memastikan pasaran kewangan mempunyai mudah tunai yang mencukupi serta berfungsi secara teratur,” kata BNM dalam kenyataan pada 26 Mei lalu.

Jelas kenyataan itu, prestasi ringgit dijangka bertambah baik apabila ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pasaran global menjadi reda.

Hal ini seterusnya akan mencerminkan kekukuhan asas-asas ekonomi Malaysia dengan lebih baik, katanya.

Ringgit ditutup pada kadar 4.613 berbanding dolar AS pada pukul 5 petang tadi.