Runtuh macam domino, JKR siasat bumbung Dewan Besar IKIM ranap
Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyiasat punca kejadian bumbung Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Langgak Tunku, Kuala Lumpur yang runtuh semalam.
Ketua Pengarah IKIM, Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata ini memandangkan kesemua blok bangunan di institut itu adalah di bawah selian jabatan tersebut.
Jelas beliau, hasil siasatan awal runtuhan tersebut berkemungkinan akibat struktur bangunan itu sendiri.
“Kita telah maklumkan kepada pihak JKR dan mereka ketika ini sedang melakukan pemantauan di keseluruhan blok bangunan yang ada sama ada benar-benar selamat atau tidak.
“Semua proses ini mengambil sedikit masa sehingga kita dapat tahu punca kejadian itu berlaku,” katanya lapor Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Azam memberitahu kesemua mangsa yang terlibat dengan kejadian itu telah menerima rawatan pesakit luar namun masih trauma dengan kejadian berkenaan.
Kata beliau, kesemua mereka kini telah mendapat cuti rehat sehingga keadaan stabil.
Sementara itu, tinjauan Harapan Daily di IKIM hari ini mendapati kawasan di sekitar depan dewan berkenaan telah dipasang dengan pita keselamatan.
Keseluruhan bumbung dewan tersebut runtuh. Seorang pegawai IKIM memberitahu Harapan Daily “Jika dilihat kesan runtuhan, insiden itu dilihat berlaku serentak dari atas tetapi kakitangan bernasib baik kerana sebenarnya ia (runtuhan) macam domino,” katanya.
Bumbung Dewan Besar IKIM yang terletak di Blok B, di premis IKIM runtuh pada kira-kira jam 11.55 pagi semalam. Insiden itu menyebabkan lima orang kakitangan mengalami kecederaan ringan.
IKIM dalam kenyataan berkata insiden itu berlaku ketika beberapa orang kakitangan sedang membuat sesi raptai bagi penganjuran program Tribute Allahyarham Tan Sri Mohd Kamal Hassan yang dijadualkan pada esok (2 Jun) di dewan yang sama.
Kejadian runtuhan bumbung itu turut disedari oleh kakitangan yang berada di blok yang lain ekoran bunyi dentuman yang kuat.
Untuk rekod, Dewan Besar IKIM dibina pada tahun 1993. Dalam tempoh itu, penyelengaraan kecil seperti menukar bumbung yang bocor telah dilakukan.
“Berikutan insiden itu, IKIM akan memohon kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian bumbung runtuh itu,” kata IKIM dalam kenyataan.
Insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan operasi Radio IKIM yang berjalan seperti biasa.
Terdahulu Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 11.56 pagi semalam
Susulan itu, seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dan BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi, PB Shamsul Ariffin Kamarunzaman, runtuhan bumbung bangunan tersebut berlaku pada keseluruhan dewan.
Terdapat enam orang wanita berumur 30 hingga 50 tahun yang terlibat. Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.
Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan selanjutnya dengan menaiki ambulan KKM dan jentera Unit EMRS.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 12.51 tengah hari. Punca runtuhan masih dalam siasatan.