Tamat khidmat Dr Md Nasir adalah keputusan Lembaga Pengarah Finas – Menteri

Penamatan perkhidmatan Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuat kuasa hari ini merupakan keputusan Lembaga Pengarah agensi itu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah penstrukturan semula beberapa dasar dan rombakan penyelarasan bagi hala tuju masa depan Finas.

“Mereka (Finas) dah memaklumkan kepada saya ia (keputusan) berdasarkan beberapa perkara yang ingin dilaksanakan termasuk satu rombakan penyelarasan, penjajaran semula (recalibration) tentang beberapa dasar dan dapatan yang kami terima.

“Ia juga pandangan daripada pihak Lembaga Pengarah tentang hala tuju masa depan Finas,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan ZTE Malaysia Corporation Sdn Bhd dalam pelbagai inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah program perkongsian strategik.

FINAS dalam kenyataan hari ini merakamkan penghargaan kepada Md Nasir atas segala sumbangan dan jasa bakti sepanjang perkhidmatan bermula 1 Nov 2021 sehingga 31 Mei dan memutuskan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS Rozita Waty Ridzuan menanggung kerja jawatan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS berkuat kuasa hari ini sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan rangkaian 5G, Fahmi berkata pasukan petugas 5G yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Mohamad Fauzi Md Isa akan terus berbincang dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengenai ekuiti.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan rangkaian dwi 5G sebaik pelancaran di bawah Digital Nasional Bhd (DNB) telah mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Â