Ada bukti jelas Pulau Pinang bukan milik Kedah, kata Faiz

Kewujudan satu undang-undang bertulis yang bernama Akta Kedah Dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) adalah bukti jelas dan konklusif bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat dan bukan milik Kedah.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, Menteri Besar Kedah telah beberapa kali membuat dakwaan mempunyai dokumen bahawa Pulau Pinang milik Kedah, namun sehingga sekarang tiada satu pun dokumen sahih dan berkuatkuasa yang ditunjukkan.

Beliau mencabar agar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membawa tuntutannya itu ke mahkamah kerana prinsip undang-undang menyatakan bahawa orang yang mendakwa perlu membawa bukti.

“Walaupun ramai pakar undang-undang termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggah dakwaan Sanusi yang tidak faham Perlembagaan, namun beliau masih degil mempertahankan dakwaan tersebut walaupun tanpa asas dan bukti sokongan.

“Kenyataan beliau (Sanusi) boleh mengelirukan orang ramai dan generasi muda. (Ia juga) boleh menimbulkan suasana tegang dan kegelisahan dalam kalangan rakyat terutama generasi muda.

“Generasi muda perlu dididik dengan ilmu dan fakta yang betul, bukannya dakwaan kosong seperti bisingnya lato-lato,” katanya sinis dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Faiz yang juga seorang peguam, walaupun Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang kewujudan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang diiktiraf dalam Persekutuan Malaysia, namun Akta 325 itu adalah undang-undang konklusif dan merupakan perjanjian sah yang mengikat kedua-dua negeri.

Ini kerana jelasnya, akta tersebut masih berkuatkuasa dan digubal bagi menentukan sempadan kedua-dua negeri.

“Bila Akta memperuntukkan sempadan, maka wujudlah sebuah negeri yang berdaulat. Akta ini menyebut tentang negeri Pulau Pinang dan sempadan dengan Kedah yang digubal berdasarkan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan dan Akta ini dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu,” tambahnya.

Beliau kemudian mempersoal sama ada Sanusi mahu menafikan satu akta yang diluluskan secara sahih, dan mengapa beliau tidak bersuara membantah akta tersebut ketika ianya digubal.

ADUN Permatang Pasir itu juga berpendapat bahawa kenaifan Sanusi dalam memahami undang-undang menunjukkan diri beliau tidak layak untuk terus menjawat jawatan utama pentadbiran negeri.

“Adakah Sanusi mahu dianggap mengingkari Majlis Raja-raja Melayu?

“Pentadbiran negeri dipandu oleh undang-undang, dan jika beliau tidak memahami undang-undang, bagaimana boleh beliau mentadbir dengan baik.

“Sanusi jangan lupa tentang sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang dibuat ketika merdeka dan pembentukan negara ini yang mengandungi negeri Kedah dan Pulau Pinang di dalam Perjanjian Persekutuan Malaya 1957,” ujarnya.

BACA JUGA Bolehkah Kedah tuntut Pulau Pinang? Peguam perjelas apa yang Sanusi tidak tahu