Asyraf: Henti tembak kaki sendiri

Pemimpin UMNO diingatkan untuk berhenti ‘menembak kaki sendiri’ dengan menyalahkan  rakan-rakan komponen parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perbuatan itu tidak mendatangkan keuntungan kepada mana-mana pihak.

“Kita perlu membendung dan menguruskannya kerana tidak ada gunanya jika kita terus menyerang sesama sendiri dan ‘menembak kaki sendiri’ untuk memuaskan hati segelintir pihak tertentu.

“Apa yang penting sekarang ialah kita beri tumpuan untuk bantu majukan negara demi rakyat. Ini bukan persembahan one-man show, kita perlu hentikan blame game ini,” katanya pada sidang media sempena PAU 2023 di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Puad Zarkashi mengkritik prestasi Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengenai langkah pemulihan ekonomi negara.

Semalam, Rafizi turut mengingatkan MKT UMNO itu bahawa mereka kini berada dalam satu komponen, justeru sebarang kritikan berterusan mampu menjejaskan sokongan pengundi Pakatan Harapan menjelang pilihan raya negeri nanti.

BACA JUGA: Anwar kembali menghadiri PAU