Iktibar sejarah Andalusia dan perpecahan negara Islam

Oleh RAJA BAHRIN SHAH

Setelah saya kembali daripada membuat kajian bangunan bersejarah tamadun Islam di Andalusia berhubung usaha pemuliharaan bangunan warisan lama, penemuan yang menarik tentang sejarah kejatuhan pemerintahan Islam di benua Eropah juga patut menjadi satu pembuka mata untuk kita semua.

Di antara bandar-bandar Andalusia di selatan Sepanyol yang melibatkan kajian saya termasuklah Cordoba, Malaga dan Granada.

Penghijrahan keluarga pemerintah Umayyad, Abdul Rahman, dari Syria pada tahun 750 setelah jatuhnya kerajaan mereka ke selatan Sepanyol adalah permulaan penubuhan empayar Islam yang kuat dan kaya dengan budaya tamadun warisan Islam yang telah wujud selama lebih kurang 800 tahun di Sepanyol.

Pasukan tentera dan kerajaan yang terdiri dari bangsa Arab, bangsa Afrika Utara dan juga tempatan Sepanyol merupakan gandingan utuh dan perkasa menguasai Andalusia selama ratusan tahun.

Selain daripada kekuatan ketenteraan yang perkasa, negara terbentuk juga amat tinggi ilmu pengetahuan sains, perubatan, pertanian dan kesenian kraf serta senibina tamadun Islam yang maseh kekal sehingga hari ini.

Tiada rombakan besar-besaran atau penghapusan tamadun senibina Islam dilakukan secara terancang kerana pemerintah selepas jatuhnya empayar Islam di Andalusia amat kagum warisan peninggalan kerajaan Islam.

Keistimewaan dan keunikan seni bina ini begitu menyerlah kehebatannya sehingga kerajaan bukan Islam selepasnya mengekalkan bangunan bangunan bersejarah serta masjid dan kini di antara bangunan terkenal di bawah jagaan pihak antarabangsa Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bertaraf warisan dunia yang terulung.

Di antara yang terkenal di seluruh dunia adalah Alhambra dan Masjid agung Kordoba.

Walaupun Sepanyol bukan negara Islam, bangunan-bangunan tamadun Islam menjadi antara daya tarikan utama di Sepanyol hari ini. Begitu hebatnya kerajaan dan tamadun Islam silam di Sepanyol yang hampir menakluk selatan Perancis satu masa dahulu.

Kejatuhan kerajaan Islam yang menguasai Andalusia di Selatan Sepanyol selepas 800 tahun era kegemilangan ekonomi, budaya tamadun seni bina, bidang pertanian dan ilmu pendidikan adalah berpunca lebih daripada pergolakan dalaman pemerintah pemerintah Islam sendiri dan bukan atas kekuatan musuh luar.

Pergolakan dan persengketaan saudara sesama Islam telah membawa kepada keruntuhan empayar Islam yang dikagumi dan digeruni oleh pihak lawan.

Umat Islam tidak harus membenarkan sejarah hitam sebegini berulang dalam kalangan negara-negara Islam yang bersaudara dan bersatu di bawah OIC dan juga Liga Negara negara Arab hari ini.

Kemusnahan bandar agung bersejarah seperti di Allepo, Syria, dan bandar-bandar di Yaman kerana peperangan sesama umat Islam amat menyedihkan. Selepas puluhan tahun persengketaan sesama negara Islam, Alhamdulillah, hari ini usaha penyatuan telah mula kelihatan kejayaannya.

Arab Saudi dan Iran telah menjalinkan semula hubungan diplomatik mereka, Syria telah diterima kembali kedalam pertubuhan Liga Arab, dan Arab Saudi dan Yaman telah mula perundingan perdamaian.

Tahun 2023 ini terdapat perkembangan yang amat sihat dan meyakinkan perpaduan di antara negara negara Islam sedunia. Di Malaysia pula, wujudnya pelbagai parti politik Islam-Melayu dan perbezaan pandangan yang tajam telah menyebabkan perpecahan sesama umat Islam.

Isu-isu yang merosakkan hubungan sesama Islam amat membimbangkan kita semua sehingga DYMM Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja Raja Melayu telah menyarankan penubuhan sebuah Kerajaan Perpaduan untuk kebaikan bersama rakyat jelata.

Satu permulaan baik telah berlaku apabila beberapa parti utama telah bersetuju menubuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia hari ini. Rakyat ramai berharap mereka yang belum menyertai Kerajaan Perpaduan hari ini menyahut seruan Majlis Raja Raja untuk bersatu.

Kalau sebuah empayar agung serta kaya Tamadun Islam di Andalusia, berusia 800 tahun, musnah disebabkan pergolakan dalaman dan negara bertamadun agung ratusan tahun seperti Syria hampir musnah kerana perpecahan di kalangan sesama Islam serantau, apa pula nasib yang akan menimpa sebuah negara kecil seperti Malaysia berusia 66 tahun, jika pergolakan sesama sendiri tidak di bendung dan di selesaikan dengan baik. Ada pepatah Melayu berbunyi “menang jadi arang, kalah jadi abu”.

Sebuah negara muda yang kecil seperti Malaysia tidak boleh mengambil jalan pertembungan tidak kesudahan sesama sendiri di kalangan umat Islam. Perbezaan pendapat di antara negara negara Arab dari golongan Sunni dan Syiah telah boleh mula dapat merapatkan perbezaan pendapat tetapi kita yang terdiri dari golongan sesama Sunni keseluruhannya masih tidak nampak penghujung pertelingkahannya.

Negara jiran Indonesia yang terdiri dari ratusan kepulauan, puluhan kaum dan lebih 200 juta rakyat boleh sepakat bersatu dan maju jauh ke hadapan hari ini, mengapa tidak Malaysia. Kita mempunyai Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja Raja Melayu yang boleh menjadi payung penyatuan Islam di Malaysia yang boleh meredakan suasana dan membawa ke arah perpaduan umat.

Terpulanglah kepada pemimpin parti parti politik untuk menyahut seruan dan cadangan oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong untuk bersama dalam sebuah kerajaan Perpaduan Malaysia demi kebaikan dan keselamatan Negara dalam dunia global yang amat tidak menentu hari ini.
InsyaAllah.