Kenyir diiktiraf Geopark Kebangsaan kesembilan

Kenyir Geopark di Terengganu diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan kesembilan di bawah Program Pembangunan Geopark, kata Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Kementerian dalam kenyataan mengumumkan pengiktirafan itu dibuat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1/2023 pada 30 Mei lepas (2023).

Kenyir Geopark yang berkeluasan 2,449 kilometer meliputi sebahagian daerah Hulu Terengganu dibentuk oleh pelbagai batuan, mineral, struktur, landskap dan fitur geologi unik hasil daripada proses geologi yang berlaku kira-kira 360 juta tahun lalu.

“Kenyir Geopark mengandungi 15 geotapak yang bertaraf antarabangsa, kebangsaan dan tempatan serta 10 biotapak, 11 tapak budaya dan satu tapak geoarkeologi,” kata kenyataan itu hari ini.

Antara keistimewaan Kenyir Geopark ialah morfologi karst Bukit Bewah yang wujud di atas tasik berwarna kehijauan yang memberikan nilai estetika tinggi.

Kewujudan pelbagai fosil marin terutama Shikamala Sp. (kerang gergasi) berusia 250 juta tahun di dinding batu kapur ini memberi nilai tambah kepada Bukit Bewah.

Geotapak Sungai Petang (Santuari Kelah), Tasik Kenyir menjadi salah satu lokasi penilaian di Kenyir Geopark oleh pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada 9 Mac 2023. Foto JMG

Selain itu penemuan seperti kerangka manusia prasejarah berusia 16,000 tahun menjadikan Bukit Bewah sebagai geotapak bertaraf antarabangsa di samping penemuan fosil tapak kaki dinosaur dan fosil tumbuhan di Gunung Gagau.

Penemuan beberapa spesies flora dan fauna endemik seperti Thismia terengganuensis (flora), Kenyirus sodhii (siput) berserta penemuan artifak arkeologi seperti Batu Bersurat Terengganu menjadi komponen penting sumber asli panting dalam penubuhan Geopark.

Sebelum ini, lapan Geopark Kebangsaan yang telah diiktiraf ialah Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak; Jerai Geopark (Kedah); Kinabalu Geopark (Sabah); Labuan Geopark (Wilayah Persekutuan Labuan): Sarawak Delta Geopark (Sarawak), Gombak-Hulu Langat Geopark (Lembah Klang) dan Stong Geopark di Kelantan.

BACA JUGA: UNESCO iktiraf Kinabalu Geopark sebagai Global Geopark Malaysia kedua