Mahathir disiasat atas tuduhan mengancam sistem demokrasi

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah disoal siasat oleh pihak polis di bawah seksyen 124B Kanun Keseksaan yang menjenayahkan aktiviti yang bertentangan dengan sistem demokrasi berparlimen.

Menurut peguam beliau, Muhammad Rafique Rashid Ali siasatan polis adalah berkaitan dengan Proklamasi Melayu yang diusahakan oleh Mahathir.

“Tun menyatakan bahawa beliau bersedia dihadapkan ke mahkamah dan akan menjawab soalan di mahkamah,” kata Rafique.

Mahathir telah disoal selama sejam sejak 11 pagi hari ini.

Proklamasi Melayu adalah usaha terbaharu Mahathir yang kalah di dalam pilihan raya umum ke-15.

Beberapa pemimpin pembangkang turut menandatangani proklamasi tersebut.