Pas menang lebih banyak daripada yang ditawarkan Umno

Perikatan Nasional (PN) dilihat mengisi kempen ‘Siap Siaga 30 Hari Gempur PN Best!’ dengan mengungkit kembali apa yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan 40 kerusi Parlimen kepada Presiden parti itu menjelang PRU15.

“Bagaimanapun, Pas memenangi 43 kerusi Parlimen dan ia lebih banyak daripada yang ditawarkan Umno,” dipetik BH.

Takiyuddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Perikatan Nasional (PN) Parlimen Sungai Besar, Sabak Bernam dan Tanjong Karang di Markas Pas Simpang Lima di sini, malam tadi.

Untuk rekod, Pas sebagai anggota utama PN selain Bersatu pada 29 Mei lalu mengisytiharkan kempen ‘Siap Siaga 30 Hari Gempur PN Best!’ bagi menghadapi PRN di enam negeri.

PRN yang dijangka Julai depan melibatkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan  ditadbir Pakatan Harapan (PH) serta Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dimiliki Pas.

Kempen sebulan PN itu adalah lanjutan pelancaran kempen sama 100 hari Gempur PN Best pada Mac lalu.

PN dilihat agresif mahu menawan tiga negeri di bawah pentadbiran PH termasuk memainkan sentimen agama selain mengekalkan penguasaan di tiga negeri dikuasainya.

Sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dalam PRN itu iaitu 56 kerusi di Selangor; Kelantan (45); Pulau Pinang (40); Negeri Sembilan serta Kedah masing-masing 36 kerusi; dan Terengganu (32).

Pada PRU15 November tahun lalu, Pas membentuk ‘tsunami politik hijau’ dengan menarik sokongan signifikan pengundi muda.

PN pada masa ini menguasai 51 kerusi Parlimen manakala PH dan BN masing-masing memiliki 76 dan 30 kerusi Parlimen.

BACA JUGA Pas guna nama Melayu untuk ‘minta nyawa’ dalam PRN