‘Sanusi macam Trump banyak cakap hal tidak logik’

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor boleh diibaratkan seperti bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang banyak kerenah dan sering bercakap hal tidak logik.

Penganalisis politik dan pakar geostrategis, Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, tidak dapat dinafikan sosok dua individu itu begitu popular namun hanya dalam kalangan penyokong tegar mereka sahaja.

Baginya, perangai Sanusi yang berterusan mencabar kedaulatan Pulau Pinang dan menuntut negeri itu dikembalikan kepada Kedah, bakal memakan diri apabila pengundi atas pagar akan mula berpaling daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun isu ini boleh ditongkah arus oleh PH, tetapi ianya dianggap sebagai tarikan oleh penyokong-penyokong PN terhadap Sanusi sendiri.

“Saya boleh analogikan (Sanusi) sebagai bekas Presiden (AS), Donald Trump yang bercakap banyak benda tak logik, retorik, tetapi popular dalam kalangan penyokong-penyokong Republikan yang begitu tegar.

Sanusi menteri besar PN paling kontroversi.

“Sama juga dengan Sanusi. Popular dalam kalangan penyokongnya tetapi sedikit demi sedikit menjauhkan diri daripada pengundi-pengundi yang tidak berpihak atau tidak mempunyai kaitan dengan parti politik,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Dr Azmi juga menegur keceluparan Pengerusi PN Kedah itu bahawa kedudukannya sebagai seorang Menteri Besar (MB) tidak sama seperti ahli-ahli politik biasa.

Lantas, tegasnya, seorang MB tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan secara terbuka kerana ia berkaitan dasar kerajaan negeri itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Pakatan Harapan (PH) menangani dengan baik dan berfakta supaya semua rakyat dapat memahami situasi sebenar.

“Kalau orang politik lain bolehlah bercakap (isu sensitif), tapi sebagai MB, itu seperti membayangkan dasar kerajaan negeri Kedah. Jadi, perlu ditongkah arus.

“Bagaimanakah untuk PH menongkah isu ini adalah menggunakan fakta terutama sekali dalam hal Pulau Pinang milik Kedah itu begitu mudah dipintas, ditongkah arus menggunakan fakta.

“Namun, jangan berat sangat supaya mudah difahami oleh orang biasa, (sekaligus) menunjukkan bagaimana Sanusi ini sebagai MB tidak boleh bercakap sedemikian,” ujarnya.

Tambah Dr Azmi lagi, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan Sanusi saban hari tidak boleh dipandang remeh kerana ia agak berbahaya.

“Umpamanya, saya ambil contoh mudah Pulau Pinang milik Kedah. Ini adalah berlawanan dengan Perlembagaan ketika Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 1957 .

“Yang mendapat kemerdekaan dalam Tanah Melayu ketika itu termasuklah Pulau Pinang. Tak kira sempadan itu ada atau tidak, tetapi kewujudan Pulau Pinang itu tetap ada.

“Jadi, kenyataan Sanusi ini agak merbahaya dan kita tidak boleh memandangnya dengan remeh,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpendapat PH perlu menumpukan golongan pengundi atas pagar yang mula hilang minat kepada PN.

Beliau berpandangan, golongan tersebut perlu diberi pemahaman bahawa semua Menteri Besar di mana-mana negeri sekalipun perlu mempunyai hubungan baik sesama ‘jiran’ terutama Kerajaan Persekutuan.

BACA JUGA Bolehkah Kedah tuntut Pulau Pinang? Peguam perjelas apa yang Sanusi tidak tahu

Â