Skandal Lembah Sireh di Kelantan: Janji nak buat stadium, jambatan tapi akhirnya…

Skandal Lembah Sireh menyaksikan kegagalan kerajaan negeri Kelantan yang diterajui Pas kerana hanya memberi keuntungan kepada individu tertentu bukannya kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Satu dialog menerusi TikTok YuwanaTV membangkitkan kembali skandal membabitkan Liziz Standaco Sdn Bhd yang merupakan syarikat pemaju swasta lantikan kerajaan Pas Kelantan bagi projek pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan di Lembah Sireh.

Pembicara itu berkata, mengikut perjanjian pada 2003 antara kerajaan Kelantan dan Liziz Standaco bagi membangunkan Lembah Sireh, syarikat itu akan membina beberapa infrastruktur seperti stadium mini, jambatan dan masjid.

“Kerajaan negeri jual tanah 716.8 ekar (290 hektar) sebanyak RM300 juta ini kepada Liziz Standaco pada 2003 tidak ikut prosedur.

“Kalau kita bayangkan 716 hektar itu lebih kurang 700 padang bola.

“Berdasarkan maklumat yang ada, ini bermakna kerajaan Kelantan jual tanah kepada Liziz Standaco satu hektar bersamaan RM1.03 juta.

“Liziz kemudiannya jual 8.7 hektar tanah kepada Aeon, bermakna satu hektar bersamaan RM19 juta,” kata pembicara wanita berkenaan.

Pada 20 April lalu, Aeon Co (M) Bhd dilapor membeli tanah seluas 8.69 hektar di Kota Bharu pada harga RM165 juta.

Aeon membeli tanah itu daripada Liziz Standaco iaitu syarikat yang diberikan kelulusan membangunkan projek Lembah Sireh.

Liziz Standaco dimiliki oleh Guok Nguong Peng dengan jumlah pegangan sebanyak 76.2 peratus, Heng Kui Heng (11 peratus) dan Koot Wong Seong @ Guok Nguong Siong (10 peratus), lapor theedgemarkets.com.

Untuk rekod, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), 21 Mac 2017 mengakui wujud kesilapan dalam perjanjian dengan Liziz Standaco bagi membangunkan Lembah Sireh sehingga gagal dilaksanakan.

Menurut pemimpin Pas itu, “kesilapan teknikal itu” menyebabkan tujuh janji bagi membangunkan Lembah Sireh seperti stadium mini, stadium wanita dan jambatan tidak dapat dilaksanakan.

Katanya, kerajaan negeri Kelantan terpaksa mengubah perjanjian awal pada 2002 berikutan beberapa isu berbangkit termasuk kerajaan negeri sepatutnya menyerahkan tanah di kawasan itu seluas 400 hektar kepada Liziz Standaco tetapi hanya dapat menyerahkan 280 hektar.

Jelas Mohd Amar lagi, hasil beberapa perbincangan, Liziz Standaco bersetuju memberi pelbagai sumbangan bernilai lebih RM148 juta selain tambahan wang tunai sebanyak RM28 juta.

Mengulas lanjut, pembicara di YuwanaTV itu berpendapat tindakan kerajaan negeri memberikan tanah seluas itu kepada Liziz Standaco sebagai tidak wajar.

“Apa yang membuatkan kerajaan negeri boleh beri tanah seluas itu kepada Liziz dengan harga sebegitu murah, dia pula boleh jual dengan harga yang melambung begitu?

“Liziz bukan sahaja gagal mematuhi syarat pelaksanaan projek malah keutamaan projek pembangunan pula hanya tertumpu pada kepentingan komersial yang menguntungkan mereka saja,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Kegagalan projek Lembah Sireh, kecekapan Kerajaan Pas Kelantan dipersoal

BACA JUGA Ambil saguhati ketika isu air tak selesai, ini masalah moral – penganalisis