Tuntut Pulau Pinang: Perikatan Nasional tegang

Tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa bahawa Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah telah menyebabkan ketegangan dalam kalangan komponen Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong menyatakan bahawa partinya tidak bersetuju dengan tindakan pemimpin Pas dari Kedah itu meskipun Gerakan sebahagian daripada PN.

“Gerakan tidak akan sekali-kali bersetuju dengan kenyataan Sanusi yang merosakkan yang bertujuan untuk mewujudkan percanggahan dan ketegangan,” kata Oh.

“Sanusi mesti memahami dan menerima Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

“Kita semua tahu bahawa pilihan raya semakin hampir untuk enam negeri, tetapi ahli politik tidak seharusnya membuat dakwaan mengelirukan untuk menyemai kekacauan dan ketidakharmonian bagi tujuan meraih sokongan.

“Sanusi mesti berhenti menggunakan naratif sedemikian serta-merta, yang merosakkan keharmonian antara Pulau Pinang dan Kedah untuk mendapatkan sokongan di Kedah bagi dirinya sendiri,” kata Oh lagi

Keterlibatan Gerakan dengan Pas menerusi PN dijangka akan memberi kesan negatif kepada Gerakan memandangkan Pulau Pinang adalah negeri yang menjadi sasaran Gerakan di dalam pilihan raya negeri.

Satu lagi komponen PN, Bersatu turut senada dengan Gerakan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga adalah setiausaha agung PN menyatakan bahawa kenyataan Sanusi akan menyebabkan perpecahan dan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Kalau kita bangkitkan isu ini waktu ini dia akan boleh menyebabkan ada perasaan tidak senang jadi fakta yang sebenarnya memang betul Pulau Pinang itu milik Kedah dahulunya.

“Tapi buat masa ini yang pentingnya adalah kita bangunkan negara kita ini biarlah kita tahu bahawa kita bersama untuk menentukan masa depan kita yang lebih baik.

“Kita tidak mahu ada perpecahan di mana-mana peringkat,” katanya mengulas pertanyaan media ketika beliau menghadiri Kejuaraan Silat Terbuka Pendekar Seabad Universiti Malaya (UM) kali ke 14.

Gerakan pernah mentadbir Pulau Pinang iaitu ketika ia menjadi sebahagian daripada komponen Barisan Nasional

Pada masa sekarang, Gerakan ialah satu-satunya anggota komponen yang tidak mempunyai wakil rakyat baik di peringkat dewan undangan negeri mahupun parlimen. Justeru itu, pilihan raya negeri yang melibatkan enam negeri adalah platform penting untuk parti tersebut.

Enam negeri yang akan menyaksikan pilihan raya negeri ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Di pihak Pakatan Harapan, laporan polis telah dibuat oleh ahli parlimen Jelutong RSN Rayer. Pengerusi DAP kebangsaan Lim Guan Eng telah mengecam tindakan Sanusi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengkritik Sanusi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh turut menegaskan bahawa keabsahan Pulau Pinang tidak boleh dipertikai.