Waktu terbaik untuk reformasi berstruktur, Dana Monetari Asia

Ekoran dari penyusutan Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS), kerajaan Malaysia digesa memperkenalkan reformasi berstruktur yang menambah baik aliran masuk dana ke Malaysia dan menubuhkan Dana Monetari Asia.

Menurut Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional Ammar Atan, inilah masa sesuai untuk negara-negara Asia mempercepatkan langkah ke arah penubuhan Dana Monetari Asia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia akan mengurangkan kebergantungan ke atas penggunan Dolar AS.

“Usaha seperti ini mustahak untuk mungukuhkan ringgit dalam jangka panjang. Ringgit perlukan dasar ‘luar biasa’ tatkala matawang dunia jatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejatuhan matawang negara berbanding dolar AS yang berpunca daripada pengukuhan dolar AS, dijadikan modal politik ketika ini terutamanya oleh Pas yang mendakwa kejatuhan itu disebabkan ketiadaan Menteri Kewangan sepenuh masa. Perkara ini telah disangkal oleh Anwar yang turut memegang portfolio kewangan di dalam kabinet.

Bank Negara Malaysia telah pun menyatakan bahawa penyusutan ringgit adalah disebabkan ketidaktentuan ekonomi global, seperti isu siling hutang di AS dan tekanan pada kedua-dua sektor perbankan AS dan Eropah.

BNM turut mengingatkan bahawa prestasi ringgit berbanding dolar AS atau mana-mana mata wang tidak menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia, yang dijangka terus berkembang empat hingga lima peratus tahun ini.

Amar menyatakan bahawa keadaan ringgit yang lemah akan memberikan impak negatif kepada rakyat memandangkan Malaysia ialah sebuah negara pengimport makanan. Jumlah makanan pada 2021 sahaja bernilai RM64 bilion.

Walaupun turun naik matawang ini adalah bersandarkan pergerakan pasaran dunia, beliau yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat mencari solusi jangka pendek dan panjang bagi menjaga kebajikan rakyat.

“Walaupun kadar pinjaman semalaman (OPR) telah dinaikkan oleh BNM ke paras tiga peratus, ia masih berada di bawah paras pra-pandemik iaitu 3.25 peratus dan pra-krisis 2008 iaitu 3.5 peratus.

“Diakui tangan BNM agak terikat dalam perkara ini, memandangkan OPR terpaksa dinaikkan untuk mengawal inflasi teras yang degil.

“BNM wajar dipuji atas kejayaannya mengawal sistem monetari Malaysia tanpa menyebabkan kos pinjaman bulanan rakyat melambung tinggi seperti di Amerika Syarikat,” katanya