‘Bila masa pula harga gula naik, sekupang pun tak naik’

Harga gula kasar tidak pernah dinaikkan seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak, kata Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Apa yang berlaku ialah, kerajaan membenarkan produksi satu lagi jenis gula yang lain iaitu gula premium yang lebih jernih dan bertapis.

“Ini yang saya nak perjelaskan. Sebenarnya, harga gula tetap 1 kilogram RM2.85. Tak naik walaupun sekupang, tak ada naik.

“Apa yang kerajaan hari ini buat ialah kerajaan membenarkan produksi satu jenis gula lain. Gula ni dipanggil gula putih bertapis, jernih.

“Ia lebih tulen dan lebih manis. Gula premium,” katanya dalam satu rakaman video pendek di Facebook beliau semalam.

Begitupun, kata Lokman, dua pengeluar terbesar gula iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) masih lagi mengeluarkan gula kasar biasa yang berharga RM2.85 untuk sekilogram.

“Gula tu ada orang sanggup beli, harga dia mahal sikit. Jadi orang nak beli itu, biarlah dia beli. Siapa yang mampu pakai gula premium, pakailah.

“Tapi kita punya dua pengeluar gula sedia ada CSR dan MSM masih lagi mengeluarkan gula-gula biasa. Gula kasar dan juga gula halus. Tidak ada pengurangan.

“Kalau ada kedai runcit yang tak nak jual gula biasa, cuma jual gula premium, tolong lapor kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNSH),” tambahnya lagi.

Terdahulu, kerajaan bersetuju permohonan dua syarikat pengeluar gula tempatan untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih dengan harga tidak dikawal sebaliknya ditentukan oleh pasaran.

Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kebenaran penjualan gula berkenaan yang bermula 25 Mei lalu diberikan kepada MSM dan CSR.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa penjualan gula putih bertapis jernih ini tidak boleh menggantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus).

Syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) yang mencukupi di pasaran.

BACA JUGA Harga kawalan gula bertapis kekal, tiada kenaikan – KPDN