Dana khas RM500,000 kepada Akademi Pengajian Melayu tanda kerajaan Madani prihatin

Dana khas sebanyak RM500,000 sumbangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) baru-baru ini, melambangkan keprihatinan Kerajaan Madani yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dekan APM, Prof Madya Dr Sabzali Musa Kahn menyifatkan bahawa peruntukan yang diberikan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan itu amat bertepatan dengan situasi semasa.

“Seperti mana yang kita ketahui, Datuk Seri Anwar sangat prihatin dengan situasi Pengajian Melayu seperti keadaan sosiobudaya, ekonomi dan apa-apa sahaja tentang masyarakat Melayu.

“Datuk Seri Anwar juga merupakan alumni Pengajian Melayu dan semestinya beliau menyedari bahawa peruntukan sedemikian amat penting bagi memastikan kajian mengenai Melayu dan dunia Melayu penting dilestarikan sebagai teras pembinaan negara bangsa.

“Seperkara lagi, Pengajian Melayu ini juga banyak melahirkan pemikiran-pemikiran yang besar sejak dahulu lagi iaitu sebelum dan selepas merdeka.

Dr Sabzali (kiri sekali) bersama Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pentadbiran Universiti Malaya.

“Saya ambil contoh seperti Pendeta Za’ba yang banyak menyumbang daripada segi idea dan pemikiran beliau bertujuan membangunkan negara pada masa tersebut,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai peruntukan khas yang diberikan oleh Kerajaan Madani kepada UM tempoh hari.

Mengulas lanjut, Dr Sabzali berkata, Pengajian Melayu juga merupakan aset penting dalam memberi nilai atau identiti yang terbaik kepada bangsa Melayu itu sendiri dan memahami realiti masyarakat dan perubahan yang berlaku.

“Segala permasalahan yang berlaku perlu dicari punca dan penyelesaian strategik. Inilah bidang Pengajian Melayu yang penting bagi meningkatkan ekonomi, sosial, politik dan akal budi Melayu bagi memperteguhkan Malaysia Madani.

“Jadi, sudah semestinya Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat prihatin dengan situasi tersebut,” ujarnya lagi.

Pada 30 Mei lalu, sebanyak RM500,000 disumbangkan KPT kepada APM bertujuan membangun, memperkasa dan melestarikan akademi berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu juga demi memastikan penubuhan semula Kerusi Za’ba.

“Saya ingin menyarankan dua perkara penting. Pertama, untuk satu kertas khas disediakan oleh UM tentang ikhtiar membangun, memperkasa dan melestarikan Akademi Pengajian Melayu.

“Kertas ini mesti bertujuan untuk merekayasa Akademi Pengajian Melayu, mengangkat martabatnya sebagai pusat ilmu terpenting untuk Pengajian Melayu global.

“Sediakan kertas cadangan yang berkaitan dengan kadar segera. Biar saya ketuk pintu hati beberapa konglomerat Melayu untuk memberikan infak kekayaan mereka kepada memperkayakan khazanah intelektual bangsa Melayu,” katanya ketika Program Syarahan Za’ba di Akademi Pengajian Melayu, UM.

Mohamed Khaled turut berpendirian bahawa APM perlu menjalani penstrukturan semula dengan membawa kepakaran ekonomi, pendidikan dan banyak lagi agar bidang pengajian tersebut menjadi inklusif dan komprehensif.

BACA JUGA Orang Melayu semakin terpinggir? Dr Taufiq bidas Dr Mahathir