Kerajaan negeri Kelantan diminta perjelas status Ladang Rakyat

Status terkini Program Ladang Rakyat ekoran jumlah syarikat yang dilantik mengusahakan tanah bagi program itu dikatakan semakin mengecil perlu diperjelaskan Kerajaan negeri Kelantan.

Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berkata terdapat 12 syarikat gagal membayar sumbangan tahunan kepada Akaun Tabung Amanah Ladang Rakyat mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2021 (Audit Khas) yang dikeluarkan tahun ini.

Menurutnya, semasa awal pelancaran program itu pada 2006, terdapat 19 kawasan Ladang Rakyat dengan 17 daripadanya diusahakan secara pajakan oleh syarikat.

“Mengikut maklumat (laporan) Audit Negara juga, hanya tinggal 12 syarikat yang mengusahakannya membabitkan 28,695.04 hektar tanah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Azmawi berpendapat kegagalan 12 syarikat terbabit bermakna tiada wang dibayar untuk membolehkan Perbadanan Ladang Rakyat Kelantan membayar kepada 4,713 peserta.

Jelasnya, ia juga menyebabkan perbadanan itu tidak mampu membayar dividen yang sepatutnya kepada peserta pada Januari dan Februari 2021 berjumlah RM5.64 juta.

“Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan wang dari kantung negeri sebanyak RM5.67 juta bagi membolehkan Perbadanan Ladang Rakyat membayar kepada peserta,” katanya.

Dalam masa sama, Azmawi mempersoalkan mengapa denda atas kelewatan membayar sumbangan tahunan itu yang berjumlah RM4.32 juta juga tidak dibayar dan tunggakan sumbangan kepada akaun Tabung Amanah Ladang Rakyat pula berjumlah RM18.54 juta.

“Saya menyeru pimpinan kerajaan negeri supaya berterus terang kepada rakyat dan ambil tindakan sewajarnya ke atas pemaju,” tegasnya lagi.