‘Kerajaan pusat pasti salur lebih peruntukan’

Jika kerajaan negeri sentiasa bersama-sama kerajaan pusat pasti peruntukan yang disalurkan melebihi daripada apa sepatutnya diperoleh negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, hubungan kukuh di antara kerajaan negeri dan pusat akan membolehkan setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan berjalan lancar.

Menurutnya, usaha memperkukuhkan hubungan itu selari dengan misi kerajaan Madani yang mahu setiap rakyat di negara ini mendapat manfaat daripada setiap pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

“Apatah lagi jika kerajaan negeri itu sentiasa bersama-sama kerajaan pusat, maka kerajaan pusat pasti akan terus menyalurkan peruntukan melebihi apa yang sepatutnya diperoleh negeri itu.

“Inilah yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Perayaan Gawai 2023 di Dewan Suarah Kapit, Sarawak hari ini.

Ahmad Zahid dalam majlis itu mengumumkan pembinaan projek Kolej Profesional MARA di Kapit yang telah diluluskan sebelum ini dan akan dilaksana pembinaannya pada tahun ini.

Beliau turut mengumumkan projek pembinaan jalan Nanga Samaram ke Nanga Beguang bernilai RM170 juta dan Jalan Sungai Sut-Rumah Juntan (RM60 juta) dipercepatkan.

Dalam masa sama, projek Skim Bekalan Air Alternatif Kapit bernilai RM60 juta dan pembinaan jambatan Sungai Amang menghubungkan Rumah Richard Engking dengan jalan utama bernilai RM4.8 juta.

BACA JUGA Malaysia Madani tidak akan abai Sabah, Sarawak