Pertikai Pulau Pinang: Pihak ambil kesempatan akan disiasat, kata Fahmi

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu berhubung isu Pulau Pinang menjadi hak milik Kedah sehingga mengapi-apikan masyarakat.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, semua pihak wajib akur dengan kedudukan Pulau Pinang pada ketika ini sepertimana yang disebut dalam Perlembagaan negara.

“Saya difahamkan beberapa laporan polis telah dibuat (berhubung isu Pulau Pinang hak Kedah) dan kini serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang patut.

“Pada masa sama saya ingin menegaskan bahawa kalau kita teliti dalam Perlembagaan memang jelas disebut negeri Pulau Pinang (dalam persekutuan Malaysia) maka tidak ada syak atau was-was tentang perkara terbabit.

“Jadi selagi mana termaktub dalam Perlembagaan, semua pihak wajib akur dengan kedudukan seperti itu.

“Sekiranya ada mana-mana pihak ambil kesempatan (mengapi-apikan masyarakat dengan menyebarkan perkara tidak benar), pihak berkuasa akan menyiasat bagi mengekang maklumat palsu tersebar dalam kalangan rakyat,” lapor BH.

Sanusi yang kerap mengundang kenyataan kontroversi.

Fahmi berkata demikian pada sidang media ketika diminta mengulas langkah kementeriannya bagi mengekang mana-mana pihak yang menggunakan isu Pulau Pinang hak milik Kedah untuk mengapi-apikan masyarakat melalui platform media sosial.

Pada 29 Mei lalu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, hanya Perak dan Perlis mempunyai sempadan dengan Kedah.

‘Gurauan’ Sanusi itu dilihat mungkin tiada isu berkaitan kepentingan rakyat untuk diperjuang melainkan membangkitkan sentimen kenegerian ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.

Perlembagaan Persekutuan memberikan keabsahan kepada kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 13 negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Selain itu, Jalur Gemilang mempunyai bintang pecah 14 dan 14 jalur yang melambangkan 13 negeri termasuk Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Jata Negara Malaysia pula mempunyai imej pokok pinang dan jambatan Pulau Pinang yang mewakili negeri yang kini ditadbir DAP itu.

Enakmen negeri Pulau Pinang dan Kedah masing-masing sudah diwartakan dengan meletakkan sempadan negeri di “garis pusat” Sungai Muda pada 1985.

Bahkan, terdapat batu penanda sempadan di Pinang Tunggal yang bertujuan membahagikan kawasan antara Kedah dan Pulau Pinang.

BACA JUGA Bolehkah Kedah tuntut Pulau Pinang? Peguam perjelas apa yang Sanusi tidak tahu