PRN Terengganu: Dua hari lagi muktamadkan agihan kerusi Pas, Bersatu

Pembahagian kerusi antara Pas dan Bersatu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu akan diputuskan dua hari lagi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Naib Presiden Pas berkenaan memberitahu parti itu bersedia memberi laluan kepada Bersatu untuk bertanding di beberapa kerusi di Terengganu.

Menurutnya, setakat ini pihak terbabit masih dalam perbincangan berhubung pengagihan kerusi itu.

“Insya-Allah akan ada kerusi bagi rakan BERSATU untuk bertanding di Terengganu, namun setakat ini kita masih belum tamat lagi perbincangan kerusi.

“Dalam dua hari lagi kita akan mengadakan perbincangan bersama kalangan pimpinan (kedua-dua parti) untuk penentuan kerusi yang ingin ditandingi,” dipetik Bernama.

Pas Terengganu pada masa ini menguasai 22 kerusi DUN manakala BN mempunyai 10 kerusi.

Ahmad Samsuri berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis di Mandarin Oriental Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang juga Pengerusi PN Perlis dan Pesuruhjaya Pas negeri.

Pada PRU14, Pas di Terengganu memenangi 22 kerusi DUN sekali gus mentadbir kerajaan negeri manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi.

Selain Terengganu, PRN dijangka Julai depan akan diadakan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

BACA JUGA PRN Terengganu: Kertas litmus perkongsian kuasa