Turun harga minyak 10 sen pun jadilah – Hisomuddin

Sekarang adalah peluang terbaik untuk Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melaksanakan formula ekonomi yang pernah dirancang dahulu sewaktu sebelum kempen Pilihan Raya Umum.

Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, ia boleh dimulakan dengan menurunkan harga minyak kenderaan – paling kurang pun turun 10 sen, yang mana menurutnya boleh memberi impak besar kepada kos sara hidup rakyat.

“Mungkin tak turun RM1.50 seperti yang dijanjikan ketika dalam Pakatan Rakyat (tahun 2008), tetapi dalam kerajaan ini untuk memberikan impak kepada rakyat, tak kan tak boleh turun 20 sen? 10 sen pun takpe dah. Untuk mengurangkan beban itu.

“Saya percaya ia akan ada kesan rantaian daripada penurunan itu. Mungkin seperti mana Rafizi terkenal dengan formula untuk mengurangkan cukai kenderaan atau kereta import, serta pemilikan harga kereta murah…

“Sekarang ini adalah peluang dan ruang yang dia boleh laksanakan apa yang dia susun dahulu,” katanya.

Hisomuddin Bakar

Beliau berkata demikian dalam segmen Berani Jawab: Menteri Tak Perform Wajib Ditukar, Anwar akan Rombak Kabinet?, di laman Facebook NextStep Malaysia kelmarin.

Mengulas berkenaan pengumuman kerajaan memberikan subsidi bersasar, Hisomuddin berkata golongan berpendapatan tinggi terutama T20 paling bawah, akan terkesan dengan pengumuman tersebut.

Hasil dapatannya dalam satu kajian bersemuka bersama beberapa responden, mendapati bahawa pengumuman kerajaan agak mengejut kerana golongan ini berpendapat selama ini mereka paling banyak menyokong kerajaan dan menyumbang untuk negara.

“Mereka mengatakan kami lah yang paling banyak menyokong kerajaan Pakatan Harapan. Tetapi dengan sumbangan kami bekerja keras dan sumbangan kepada negara, tiba-tiba subsidi kami ditarik dengan mengejut.

“Mereka tahu segmen T20 yang paling banyak mendokong kerajaan berbanding kelompok B40. Pada khidmat mereka, kelompok B40 yang sebenarnya banyak menyokong oposisi.

“Tetapi mereka ini (B40) yang mendapat laba dan mendapat keuntungan dari dasar kerajaan. Jadi bagaimana Menteri Ekonomi mahu menjelaskan soal ini? Walaupun pertimbangan ekonomi itu dilihat (penting), tapi dari konteks politik juga perlu diambil kira,” ujarnya.

BACA JUGA ‘Bila masa pula harga gula naik, sekupang pun tak naik’