Jamal Yunos: 17 kerusi DUN hanya cadangan BN

Ahli jawatankuasa Umno Selangor Datuk Jamal Yunos menolak dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) menuntut 17 kerusi dewan undangan negeri untuk bertanding di dalam pilihan raya negeri Selangor.

Menurut beliau, angka tersebut hanyalah cadangan BN untuk dipertimbangkan bersama dengan Pakatan Harapan.

“Kita beri pandangan, cadangan, bukan kita minta atau desak, yang akhirnya kita serah kepada pucuk pimpinan untuk tentukan. Kita tak paksa untuk diberi 17 kerusi kerana yang mustahak kerajaan perpaduan di Selangor terus memerintah selepas PRN.

“Kita bukan mahu berapa banyak kerusi nak bertanding, tetapi kita nak berapa banyak kita boleh menang itu lebih penting,” Jamal dipetik berkata oleh FMT.

Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa PH menawarkan 10 kerusi DUN kepada BN tetapi BN mahukan 17 kerusi.

Jumlah kerusi yang ditawarkan kepada BN termasuklah empat kerusi yang dimenangi BN sebelum ini.

PH-BN saling bertukar kerusi

Baki kerusi yang ditawarkan kepada BN adalah kerusi yang dimenangi oleh Pas, kecuali Dengkil.

Laporan tersebut turut memetik sumber dalam menyatakan bahawa MCA mahukan kerusi Kuala Kubu Bharu yang dipegang DAP manakala MIC menyasarkan Sentosa atau Dengkil.

Jamal juga tidak menolak kemungkinan BN dan PH akan bertukar kerusi.

“Ada kerusi akan bertukar kawasan antara Umno-BN dan PH yang mana parti kerajaan bertanding yang kita fikir boleh menang. Tak semestinya DUN Umno yang sudah menang, Umno akan bertanding di sana, tetapi kuota itu boleh bertukar-tukar.

“Kalau Umno rasa tempat itu susah nak menang, berlaku pergolakan dalaman dan isu-isu lain, kita tukar dengan PH.

“Begitu juga kerusi PH yang kita rasakan walaupun PH sudah menang di situ sebelum ini kalau dirasakan PH tidak boleh menang, tak bersesuaian di situ mungkin kita bagi kepada Umno bertanding dengan syarat setuju sama setuju,” katanya.