Penjualan tanah Terengganu: Siasatan SPRM, dakwaan mahkamah akan beri kelebihan

Siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diikuti oleh dakwaan di mahkamah akan memberi kelebihan kepada gabungan Pakatan Harapan – Barisan Nasional menjelang pilihan raya negeri (PRN) Terengganu, kata seorang penganalisa politik.

“PH dan BN hanya akan mendapat kelebihan politik menjelang PRN jika isu tersebut bukan sahaja disiasat oleh SPRM, akan tetapi didakwa oleh mahkamah,” kata Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya samada isu penjualan tanah oleh kerajaan Terengganu kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) pada harga yang jauh lebih bawah berbanding harga pasaran.

“Sekiranya hanya dijadikan isu politik tanpa apa-apa siasatan dan dakwaan mahkamah ia akan dianggap sebagai isu politik semata-mata, propaganda murahan dan fitnah politik.”

“Tanpa siasatan dan dakwaan maka tidak ada kelebihan politik kepada PH dan BN. Sebaliknya backfire pula kepada ph +BN kerana mainan isu tanpa ada tindakan sprm dan perbicaraan mahkamah.

Penganalisa politik dari Universiti Tasmania, Profesor James Chin mengambil pendirian yang lebih pesimistik.

“PH dan BN boleh menggunakan isu ini untuk meningkatkan jumlah undi yang boleh diperoleh di dalam PRN.”

MB Terengganu pandang enteng

Awang Azman menekankan keperluan pendakwaan kerana tanpa pendakwaan mahkamah isu ini akan dianggap mainan politik parti yang bertanding di dalam PRN.

Semalam Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memandang isu penjualan tanah kerajaan negeri kepada Khairunnisa’ sebagai perkara enteng.

Saya pun tidak faham kenapa itu menjadi isu, proses yang dijalankan dalam isu itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu.

“Tapi biasalah zaman pilihan raya macam-macam benda akan keluar. Cacing dalam perut bumi pun akan keluar,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Laporan yang mendakwa kerajaan Terengganu menjual tanah seluas 11,299 meter persegi yang terletak di kawasan strategik di Batas Baru pada harga lebih rendah dari pasaran iaitu pada harga RM500,000 meskipun tanah tersebut bernilai RM29.3 juta kepada Khairunnisa’ telah tular beberapa hari yang lalu.

Berdasarkan laporan tular berserta dokumen – yang tidak dapat dipastikan kesahihannya secara bebas – Pendaftar Tanah Kuala Terengganu pada 10 Feb 2019 menyatakan tidak memberi pertimbangan kepada permohonan Khairunnisa’.

Hal itu kerana tanah tersebut mahu disimpan untuk tujuan kepentingan awam mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Ia diwartakan pada 28 Apr 2011.

Selain Terengganu, lima negeri lain akan turut menyaksikan PRN iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.