Selangor tunggu perkenan sultan untuk bubar DUN

Kerajaan negeri Selangor menunggu perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menentukan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata bahawa beliau menunggu perkenan Sultan Selangor sebelum mengumumkan tarikh pembubaran.

“Minggu lepas saya sudah mengadap baginda dan memaklumkan (berhubung sesi menghadap untuk pembubaran DUN).

“Secara asasnya, Tuanku sedang mempertimbang tarikh sebab baginda ada beberapa perancangan lain,” laporan Utusan Malaysia memetikan Amirudin berkata.

Beliau menambah, pembubaran DUN di Selangor perlu dilakukan melalui istiadat seperti yang dilakukan pada pilihan-pilihan raya sebelum ini. Hendak bubar DUN perlu ada mesyuarat dan tempatnya pula disediakan.

“Ada istiadat yang menjadi tradisi di Selangor dan ingin kita kekalkan, ia perlu dibuat dengan cermat dan teratur,” jelasnya.

Harapan Daily sebelum ini melaporkan bahawa Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua dijangka menghadap Sultan Selangor sebelum tarikh pembubaran automatiknya iaitu 25 Jun depan.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan situasi pengosongan pejabat dilakukan oleh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dikatakan menjadi perkara biasa pada setiap kali hujung penggal.

Menurutnya, tindakan yang mereka lakukan itu bagi membolehkan mereka mengemaskan apa yang perlu, memandangkan jangka hayat DUN Selangor hanya berbaki berpuluh hari sahaja lagi.

“Bila menghampiri pembubaran (DUN), kita pun bersiap sedia untuk kemas dan saya pun buat perkara sama pada penggal lepas. Nanti bila PRN, semua akan sibuk di lapangan,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan berkenaan tindakan beberapa Exco yang dilihat telah mula mengemas pejabat untuk dikosongkan.

Selain daripada Selangor, lima negeri yang akan turut menyaksikan pilihan raya negeri adalah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.