Tanah Terengganu: Bukan isu kecil tapi kebiasaan Pas

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Mohamad Zamir Ghazali berkata adalah sesuatu yang tidak pelik apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengatakan bahawa pengambilalihan aset negeri yang diberikan kepada kumpulan kroni itu merupakan suatu isu yang kecil.

Menurut beliau, ia jelas menunjukkan sikap sebenar pimpinan Pas itu sendiri yang memberi justifikasi bahawa seakan aset tersebut tetap masih lagi boleh digunakan meskipun oleh ahli keluarganya sendiri.

“Tidak pelik untuk seorang Menteri Besar seperti Ahmad Samsuri dan juga pimpinan Pas mengambil pendekatan yang seumpama ini kerana banyak langkah-langkah pentadbiran mereka lakukan sekarang mempunyai ‘tendency’ (kecenderungan) yang serupa.

“Contoh dalam laporan Audit Negara 2020, pelaburan Terengganu masih ada lagi sebanyak RM3.5 juta di dalam Amanah Saham Darul Iman (ASDI) telah pun dicairkan, malah tiada pelaburan baru pada tahun 2021.

Menurutnya, kemudian duit tersebut dialihkan pula kepada Tabung Lembaga Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) yang juga kononnya untuk menguruskan tanah.

Plot tanah yang menjadi perbualan masyarakat Terengganu

Perkara enteng untuk MB Terengganu

Semalam Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memandang isu penjualan tanah kerajaan negeri kepada Khairunnisa’ sebagai perkara enteng.

Saya pun tidak faham kenapa itu menjadi isu, proses yang dijalankan dalam isu itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu.

“Tapi biasalah zaman pilihan raya macam-macam benda akan keluar. Cacing dalam perut bumi pun akan keluar,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Laporan yang mendakwa kerajaan Terengganu menjual tanah seluas 11,299 meter persegi yang terletak di kawasan strategik di Batas Baru pada harga lebih rendah dari pasaran iaitu pada harga RM500,000 meskipun tanah tersebut bernilai RM29.3 juta kepada Khairunnisa’ telah tular beberapa hari yang lalu.

Berdasarkan laporan tular berserta dokumen – yang tidak dapat dipastikan kesahihannya secara bebas – Pendaftar Tanah Kuala Terengganu pada 10 Feb 2019 menyatakan tidak memberi pertimbangan kepada permohonan Khairunnisa’.

Hal itu kerana tanah tersebut mahu disimpan untuk tujuan kepentingan awam mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Ia diwartakan pada 28 Apr 2011.

Penjualan itu tidak disokong oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan bertentangan dengan harga premium yang sepatutnya dikenakan sebanyak RM5.87 juta tetapi didakwa dikurangkan oleh kerajaan negeri kepada RM500,000 sahaja.

Isu berkenaan telah dibangkitkan oleh bekas MB Terengganu yang juga ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said di sidang DUN Terengganu baru baru ini. Ahmad mendedahkan urusan perolehan tanah tersebut pada ketika BN berkuasa dan bagaimana dakwanya kerajaan Pas telah menjualkannya dengan harga rendah kepada NGO pro parti berkenaan.

Perakaunan kreatif untuk mengesahkan penjualan tanah

Zamir berkata pimpinan Pas turut akan menggunakan ruang dan peluang di dalam mesyuarat kerajaan negeri untuk meluluskan sesuatu aset strategik termasuk tanah bagi menampakkan ianya diambil secara sah dan baik.

“Jadi bentuk pendekatan (perakaunan kreatif) ini sedang diambil oleh pimpinan Pas dengan tujuan untuk mengagihkan dalam minit-minit terakhir pentadbiran ini.

“Aset-aset strategik dan juga wang-wang kumpulan amanah atau wang yang disatukan dengan tujuan supaya dapat meraih sesuatu sebelum mereka (Pas) jatuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa pihak berkuasa untuk segera menyiasat Ahmad Samsuri berkenaan isu tersebut yang telah dilaporkannya pada 13 Mei lalu bersama Ketua Pemuda Umno Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera.

“Pastinya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat penjualan yang didakwa direstui oleh Ahmad Samsuri.

“Ahmad Samsuri telah pun menyalahgunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar untuk memberikan tanah strategik itu kepada isteri beliau melalui pertubuhan pro Pas,” ujarnya.