Hadi anggap kenyataan Anwar ‘sesat’, PH bawa konsep tanpa akidah

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kedudukan ahli Parlimen Melayu dalam kerajaan adalah sebagai ‘sesat’.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tersebut juga berpendapat pertimbangan Anwar itu juga bercanggah dengan kepimpinan melalui teladan Rasulullah SAW.

Tegasnya, dalam politik Malaysia, bangsa Melayu yang menganut Islam itu wajib memimpin, memerintah dan mentadbir masyarakat majmuk yang termasuk rakyat bukan Islam.

“Media melaporkan kenyataan yang dibuat oleh PMX, Anwar Ibrahim, yang menganggap dakwaan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, mengenai kedudukan ahli Parlimen Melayu dalam kerajaan merupakan perkiraan yang ‘tidak betul’.

“Menurut Perdana Menteri lagi, untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil, ia tidak bergantung kepada jumlah ahli Parlimen mana-mana etnik di Parlimen, sebaliknya bergantung kepada dasar yang dilaksanakan.

“Bahkan, Anwar juga menganggap menilai kestabilan kerajaan dengan hanya bersandarkan kepada faktor bangsa adalah pertimbangan yang jumud,” kata Hadi dalam siri Minda Presiden.

Menerusi artikel panjang berjudul, “Petunjuk Rasulullullah SAW dalam bernegara: Jawapan kepada Anwar dan mazhabnya” itu, Hadi turut berpendapat Pakatan Harapan (PH) membawa konsep “tanpa beraqidah, tanpa berideologi, tanpa berakhlak, dan tanpa berilmu, serta mudah dipengaruhi oleh teori Barat warisan penjajah”.

Oleh sebab itu, dakwa Hadi, PH membawa konsep sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia’ yang menolak kepimpinan Melayu Islam tanpa mempedulikan aspek iman, akhlak dan integriti.

“Bagi mencukupkan jumlah ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan, dicampur semua jenis manusia daripada fahaman yang berbeza tanpa asas iman dan akhlak, dalam keadaan yang sebenarnya tidak cukup jumlahnya.

“Caranya ialah dengan mewujudkan naratif yang salah dan sesat, membetulkan perkara yang salah atau meletakkan kesalahan di bawah kapit (?),” tulis Hadi lagi.