Memanglah PN ‘stabil’ kalau jual tanah kerajaan bawah harga pasaran

Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam secara sinis menyifatkan kewangan Perikatan Nasional (PN) memang stabil dengan mengaitkan isu penjualan tanah kerajaan pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa.

Menurutnya, isu penjualan tanah di Kuala Terengganu bernilai RM29 juta pada harga hanya RM500,000 itu sejajar dengan slogan PN, ‘Bersih dan Stabil’.

“Memang patutlah Perikatan Nasional menggunakan slogan Bersih dan Stabil, boleh habis tanah Kerajaan Negeri ‘bersih’ disapunya.

“Memanglah kewangan mereka ‘stabil’, kalau pemimpinnya asyik buat duit dengan menjual tanah kerajaan negeri di bawah harga pasaran,” tempelaknya.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat rakyat Terengganu menanggung kerugian akibat tindakan kerajaan negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu.

Oleh itu, Lokman mendesak pemimpin Pas itu supaya menjelaskan sebab tanah seluas 11,299 meter persegi terlalu rendah kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’).

“Yang sengsara dan rugi akibat penyalahgunaan kuasa MB Pas Terengganu ialah Kerajaan Negeri dan Rakyat Terengganu.

“MB Samsuri kena jelaskan kenapa harga yang dijual sangat murah dan bukan hanya memberi alasan ini isu kecil.

Ahmad Samsuri

“Tunjukkan ketelusan pemerintahan kamu, kita hendak tahu di mana letaknya ‘Bersih dan Stabil’ tu?” tegasnya.

Kelmarin, Samsuri menganggap penjualan tanah kerajaan negeri itu kepada Khairunnisa’ bukanlah satu isu.

Katanya, segala prosedur dipatuhi semasa proses jual beli itu dilakukan dan menganggap isu tersebut sengaja ditimbulkan memandangkan pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir.

“Tapi biasalah zaman pilihan raya macam-macam benda akan keluar. Cacing dalam perut bumi pun akan keluar,” katanya pada sidang media di ibu negara, kelmarin.

Terdahulu, tular isu penjualan tanah berdekatan bangunan Badan Perhubungan Pas Terengganu kepada Khairunnisa’ dengan bayaran premium RM500,000.

Didakwa penjualan tanah itu yang dikatakan tidak disokong Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan bertentangan dengan harga premium yang sepatutnya dikenakan sebanyak RM5.87 juta.

Mengulas lanjut, Lokman menegaskan bahawa penjualan tanah dengan harga yang sangat murah dan dijual pula kepada NGO yang diketuai isteri Samsuri jelas sebagai penyalahgunaan kuasa.

“Punyalah pemurah Menteri Besar Terengganu ni sampai beri lebih 98.2 peratus diskaun untuk tanah kerajaan negeri. Jualan Rahmah pun tidak semurah ini,” katanya.

Dalam mas sama, beliau membandingkan kes tersebut dengan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 terhadap seorang bekas Naib Cancelor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atas pertuduhan salah guna kuasa memasukkan nama anak lelakinya untuk ditemuduga.

“Namun, amat mengecewakan sehingga kini MB Pas Terengganu ni tidak diheret kemuka pengadilan?

“Kita tidak boleh berikan isyarat yang salah bahawa Kerajaan Perpaduan gagal berlaku adil kepada semua,” tambah Lokman lagi.

BACA JUGA Tanah Terengganu: Ahmad Said cabar MB Terengganu berdebat