PRN Kelantan: BN letak 31 calon, PH bertanding 14 kerusi DUN

Barisan Nasional (BN) di Kelantan meletakkan 31 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi manakala Pakatan Harapan (PH) bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman, berkata pembahagian kerusi itu dibuat menerusi satu mesyuarat diadakan lebih seminggu lalu.

Menurutnya yang mesra dipanggil Cikgu Awi, urusan berkaitan agihan melibatkan keseluruhan 45 kerusi itu tidak menimbulkan sebarang masalah.

Zawawi Othman

“Pembahagian kerusi antara BN dan PH mencapai kata sepakat apabila PH hanya mahu 14 kerusi, manakala BN pula bertanding 31 kerusi.

“Ada kawasan Parlimen yang PH minta mahu bertanding di dua Dewan Undangan Negeri (DUN), ada satu kerusi saja dan ada juga Parlimen yang PH tidak bertanding di DUN langsung.

“Ini menunjukkan kerjasama antara BN dan PH berjalan lancar kerana dalam pembahagian kerusi itu tidak ada bantahan,” kata bekas ADUN Semerak itu, dipetik BH hari ini.

Pengumuman pembubaran DUN di Kelantan dijangka pada pertengahan bulan ini memandangkan DUN di negeri itu akan tamat tempoh pada 28 Jun.

Sebelum ini, Pas dilapor yakin mampu memenangi kesemua 45 kerusi pada PRN Kelantan selepas menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, Pas menguasai carta dengan majoriti puluhan ribu setiap kerusi Parlimen terbabit.

BACA JUGA PN anjur Himpunan Tiktokers Kelantan menjelang PRN