Rundingan tujuh lagi kerusi DUN Selangor dijangka selesai minggu depan

Baki tujuh lagi kerusi yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, dijangka dapat diselesaikan pada minggu depan.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, keputusan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) itu akan menentukan siapa calon bertanding pada PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi itu.

“Kalau tanya siapa nak bertanding? Kedua-duanya nak bertanding (PH dan BN).

“Jadi, persoalannya bila perkara itu mahu diselesaikan? Kita jangka minggu depan ia diselesaikan di peringkat perundingan dan pusat. InsyaAllah.

“Kerusi siapa dan siapa akan bertanding? Keputusan (rundingan) itu nanti yang akan menentukan, ada sebahagiannya PH bertanding dan sebahagiannya BN bertanding,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan PKR itu berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pembahagian tujuh lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang masih belum selesai.

Semalam, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 49 kerusi bagi PH dan BN Selangor sudah disepakati.

Beliau berkata, jumlah berkenaan menjadikan perbincangan pembahagian kerusi bagi gabungan parti-parti Perpaduan itu sudah selesai sehingga 83 peratus.

“Sudah ada 49 kerusi yang confirm. Saya percaya masing-masing tahu dan kita mempunyai peluang cerah (menang).

“Kalau 49 kerusi (selesai dimuktamadkan), maknanya ada tujuh lagi belum selesai.

“Jadi, dengan tujuh belum selesai itu, sudah terlalu sedikit berbanding 56 kerusi keseluruhan, satu pencapaian yang sangat baik.

“Tujuh kerusi lagi yang perlu ada rundingan, saya percaya dengan masa pembubaran seterusnya penamaan calon, saya yakin ia boleh diselesaikan,” kata Amirudin lagi.

Kesepakatan dalam kalangan kepimpinan PH dan BN di bawah Kerajaan Perpaduan di Selangor dilihat akan mengekalkan tampuk pemerintahan selama empat penggal berturut-turut.

PH pada masa ini menguasai 41 kerusi manakala BN mempunyai lima kerusi daripada 56 keseluruhan DUN Selangor.

Sementara itu, Bersatu menyandang empat kerusi DUN, manakala Pas hanya satu kerusi dan tiga lagi kerusi milik Pejuang.

BACA JUGA Rundingan kerusi DUN PH-BN positif, kata MB Selangor