Dewan Rakyat kecoh, pembangkang tolak bahas laporan audit
Penyokong kerajaan menempelak tindakan blok pembangkang memboikoit perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 2021 dalam sidang Dewan Rakyat petang ini.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, biarpun pembangkang mendakwa pembentangan laporan tersebut sebagai tidak teratur dan di luar “konvensyen”, namun ia sama sekali tidak menyalahi undang-undang.
Beliau beranggapan protes dilakukan pembangkang sebagai tindak balas kerana takut kecurangan dan ketirisan yang mereka lakukan akan terbongkar.
“Saya sungguh hampa apabila pembangkang tidak ada di Dewan Rakyat hari ini untuk bersama-sama kita membahaskan apakah kekurangan yang telah dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dan bagaimanakah kita boleh sepakat untuk memastikan bahawa perkara ini tak berlaku.
“Pada khidmat saya, saya menjangkakan kenapa pihak pembangkang tidak mahu turut serta dalam perbahasan ini adalah kerana risau tentang perkara-perkara yang bakal dibocorkan atau didedahkan dalam perbahasan ini
“Saya percaya bahawa itu adalah sebabnya kenapa pihak pembangkang tidak mahu turut serta dan cuba berdolak-dalih, memberi macam-macam alasan untuk mengelak perbahasan ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, langkah membahas laporan itu sama sekali tidak bertentangan dengan peruntukan Perkara 107 yang menyebut; “Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah menyebabkan laporan-laporan itu dibentang di hadapan Dewan Rakyat”.
Menurut beliau biarpun tiada keperluan untuk dibahas, jika kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan laporan tersebut dibahas, ia tidak bertentangan dengan apa-apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan.
“Perlembagaan tak kata tak boleh bahas. Perlembagaan kata cuma perlu dibentangkan sahaja.
“Jadi kalau kita kerajaan ini nak mengambil satu langkah yang lebih (ke hadapan) iaitu membahaskannya, sepatutnya pihak pembangkang menyokong perkara ini dan bukannya memboikoit, tidak hadir dalam Dewan.
“Mereka lupa atau sengaja lupa bahawa dalam usul untuk menyokong titah Yang di-Pertuan Agong juga tidak ada dinyatakan di situ bahawa ia perlu dibahaskan. Tapi kita bahas juga,” katanya.
Beliau mendakwa pembangkang cuba menggunakan Dewan Rakyat untuk menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan dan menyebarkannya di media sosial.
“Ini amat tak bertanggungjawab oleh pembangkang. Saya pun ahli Parlimen baru, tapi kita tahu pembangkang dah lama mengesyorkan supaya laporan ini dibahaskan.
“Tapi bila berlaku peristiwa bersejarah di mana kerajaan membenarkan perkara ini dibahaskan, apa yang kita nampak pembangkang yang sepatutnya jadi bertanggungjawab, tidak pula menyahut keterbukaan kerajaan ini,” ujarnya.
Terdahulu selepas sesi soal jawab, Ketua Whip pembangkang Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bangkit membantah usul yang dibawa kerajaan bagi membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021 yang pertama kali dilakukan di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akhirnya membentangkan usul membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) buat pertama kalinya di Dewan Rakyat, hari ini.
Â