Fokus ‘kalih’ kerajaan negeri, BN-PH Kedah gerak jentera beberapa minggu lagi

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah bersiap sedia untuk menggerakkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh beberapa minggu lagi setelah sepakat bakal memuktamadkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Penerangan UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata fokus kepada ‘kalih’ kerajaan negeri akan diberikan dalam kerjasama jentera antara parti bagi memastikan kelancaran gerak kerja selain ketepikan soal remeh-temeh.

Pada PRN kali ini kata beliau rakyat berpeluang untuk memilih sebuah kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan pusat untuk membawa pembangunan dan pelaburan balik ke negeri Kedah.

“Pada hemat saya, apalah gunanya jika Kedah hanya mempunyai kerajaan negeri yang hanya bijak ‘sembang deraih’ dan bersikap samseng suka ‘cari gaduh’, sedangkan banyak masalah rakyat tidak dapat diselesaikan secara tuntas.

“Malah kerajaan negeri hari ini hanya mampu meneruskan dasar usaha yang digagaskan kerajaan sebelum ini dengan tindakan ‘rebranding’ dan ‘claim credit’, bukan idea asal PN Kedah yang tulen,” katanya dipetik dari UMNO Online hari ini.

Shaifuil Hazizy berkata rundingan pembahagian kerusi berjalan dengan baik namun jangan ada pihak yang berunding mempunyai niat tersembunyi.

“Rundingan dengan sebuah parti sebelum ini pernah gagal kerana pihak yang berunding dengan UMNO itu terlalu sarat dengan agenda jahat, muslihat licik dan ingin memusnahkan UMNO dalam diam,” katanya.

Kata beliau lagi adalah penting untuk semua pihak ambil kira kesan yang ditonjolkan terhadap agenda besar Kerajaan Perpaduan melalui pembahagian kerusi, dan perlulah jelas memberi imej ikhlas dan adil.

“Berdasarkan jalinan perpaduan erat, keikhlasan, kesefahaman, usaha nekad, keharmonian kepimpinan serta akar umbi, saya yakin rakyat Kedah akan rasional menyedari kesungguhan kami dan memastikan negeri Kedah kembali diterajui Kerajaan Perpaduan BN-PH pada PRN kali ini,” ujarnya.