Mahkamah Rayuan Perancis tolak tuntutan waris Sultan Sulu

Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar keputusan yang dibuat oleh penimbang tara Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan itu bermaksud penuntut tidak boleh bergantung kepada keputusan yang diputuskan di Perancis itu untuk sebarang tujuan.

“Mahkamah Rayuan Paris juga mendapati penimbang tara (Stampa) telah terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya.

“Keputusan ini juga, yang muktamad serta mengikat, adalah satu kemenangan yang nyata buat Malaysia dalam perjuangannya untuk mendapatkan remedi dari segi perundangan dan Malaysia yakin penuntut serta pembiaya mereka akan kalah,” kata beliau dalam kenyataan malam ini.

Azalina berkata Malaysia percaya keputusan hari ini juga akan menghentikan usaha penuntut serta pembiaya mereka iaitu Therium untuk menguatkuasakan keputusan (award) tidak sah itu serta cuba mendapatkan pampasan yang besar daripada Malaysia.