Momentum Kalih Bagi Sama semakin kuat di Kedah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf berpandangan bahawa momentum slogan Kalih Bagi Sama yang dilancarkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah sudah semakin kuat di negeri itu.

Pada 6 Mei lalu, PH dan BN Kedah telah melancarkan slogan Kalih Bagi Sama untuk kempen pilihan raya negeri yang bertujuan menjajarkan pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan selepas pilihan raya.

Zamri berkata penerimaan itu amat penting untuk membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat Kedah sekali gus menjajarkan pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan untuk dijadikan sebagai pilihan terbaik demi pembangunan negeri dan rakyat dalam jangka panjang.

“Kempen Kalih Bagi Sama sedang berjalan dengan baik di negeri Kedah dan penerimaan serta respon rakyat yang diterima adalah sangat baik.

“Dalam bulan-bulan terakhir sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN), kita akan beri penerangan kepada rakyat dan pencerahan akan diberikan atas kegagalan 36 bulan Perikatan Nasional mentadbir Kedah,” katanya kepada Harapan Daily.

Zamri berharap agar semua yang dihasratkan itu akan dapat diterjemahkan dalam bentuk kesepakatan yang jitu dan penuh semangat antara PH dan BN dalam PRN nanti.

“Kita sudah dapat kembali momentum apabila rakyat Kedah sudah (dapat) menerima Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Kita turut akan menangkis salah faham dan perbezaan persefahaman kerana tidak mahu rakyat Kedah merasa rugi kerana tidak sama sealiran dengan kerajaan pusat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa penerimaan terhadap slogan Kalih Bagi Sama juga sangat baik terutama dalam kalangan anak muda yang dahagakan kemajuan di negeri itu.

PKR tanding 10 kerusi?

Dalam pada itu, Zamri yang juga Ketua Penerangan PKR Kedah percaya bahawa soal pembahagian kerusi DUN Kedah yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat telah dibincang secara konsensus di antara parti-parti komponen PH dan BN.

“Soal pembahagian kerusi DUN Kedah tidak sukar untuk dirundingkan sebab kita berpegang kepada keputusan 2018 untuk kekal bertanding di kawasan sama. PH menang 18 kerusi dan BN 3 kerusi.

“Berbaki lagi 15 kerusi itu, terpulang kepada PKR, AMANAH, DAP dan Umno dan siapa di antara mereka yang mempunyai peluang yang lebih besar untuk (dipilih) bertanding di kawasan itu,” ujarnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa PKR akan bertanding di 10 kerusi walaupun PKR hanya memenangi tujuh kerusi DUN semasa pilihan raya umum ke-14

Untuk rekod, pada PRU14, PH yang bertanding menggunakan logo PKR memenangi kerusi DUN Ayer Hangat, Kuah, Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Derga, Suka Menanti, Kota Darul Aman, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam, Lunas, Kulim dan Gurun.

Manakala BN mempertahankan kerusi DUN Sungai Tiang, Bandar Baharu dan Guar Chempedak.

Walau bagaimanapun ketidakstabilan politik dan perubahan pakatan memaksa mantan menteri besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berundur dan jawatan nombor satu negeri tersebut disandang oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dari Pas.