PAU 2023: UMNO, Kerajaan Perpaduan dan pilihan raya negeri

Esok seramai 6,341 perwakilan UMNO akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023.

Perhimpunan esok dimulakan dengan taklimat Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan diikuti perasmian serentak perhimpunan ketiga-tiga sayap parti pada sebelah malam.

Sesi tradisi tersebut dilihat amat penting bagi menentukan hala tuju perhimpunan termasuk perbahasan yang bakal ditampilkan oleh para perwakilan.

PAU kali ini diadakan tidak lama selepas diadakan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei lalu di Dewan Merdeka, WTC.

Konvensyen tersebut menjadi platform awal untuk menguji sejauh mana serasinya gabungan Kerajaan Perpaduan PH-BN selama enam bulan selepas PRU-15. Ketika itu banyak pihak memandang skeptikal kepada kerjasama itu.

Namun konvensyen tersebut berjalan dengan jayanya. Itulah kali pertama parti-parti yang selama berseteru duduk sepentas. Slogan dulu lawan kini kawan bergema di Dewan Merdeka.

Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada sokongan 19 parti-parti politik dibentuk selepas tiada parti yang memenangi majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

PAU kali ini hadir ketika kehangatan konvensyen tersebut masih lagi perkatakan. Justeru itu, PAU ini diyakini akan menyaksikan kerjasama Kerajaan Perpaduan terus menjadi topik perbahasan.

Sebelum ini, kita hanya mendengar penegasan daripada pemimpin UMNO dari semua peringkat yang memberikan sokongan penuh terhadap kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam PAU, kita bakal mendengar penegasan daripada peringkat akar umbi terhadap dukungan UMNO/BN terhadap Kerajaan Perpaduan yang telah berjaya mewujudkan kestabilan politik negara pasca PRU-15.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin, PAU kali ini menjadi platform terbaik kepada pengukuhan dalam kalangan ahli parti serta penentuan hala tuju buat parti.

“Kita berharap PAU kali ini akan memberikan gambaran yang jelas dan gerak kerja teliti selepas ini untuk mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk kita memperbaiki daripada segi gerak kerja pilihan raya.

“Menerokai kaedah dan pendekatan baharu berdasarkan kepada pola pengundian dan guna demografi pengundi dalam PRN kali ini,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar, memetik laporan UMNO Online.

Wakil rakyat Sungai Panjang berkata gerak kerja sebaiknya perlu dilakukan sebagai usaha parti dalam menyumbang kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor.

“PAU pada kali ini perlu digunakan sebaiknya oleh semua pucuk pimpinan dan juga perwakilan agar kita dapat bergerak dalam satu gerak kerja seiring yang mana telah pun dipersetujui di peringkat pimpinan khususnya dalam konteks PRN.

Pada Khamis, PAU akan menyaksikan ketiga-tiga sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri mengadakan perhimpunan masing-masing sebelum diikuti perhimpunan penuh pada Jumaat dan sudah pasti ucapan dasar Presiden parti bakal menjadi tumpuan.

Sejarah bakal tercatat apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir pada majlis pembukaan PAU. Kali terakhir Anwar hadir PAU adalah pada tahun 1997 ketika beliau menjadi Timbalan Presiden parti.

“Tahun ini ada kelainan, kita bertuah kerana Perhimpunan Agung UMNO 2023 turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 19 presiden parti yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Perhimpunan ini diadakan ketika bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) kian memanas. Enam negeri bakal menyaksikan DUN dibubar dalam tempoh terdekat bulan ini sekali gus memberikan laluan kepada pilihan raya negeri.

Perhimpunan ini penting sejauh mana perwakilan membahaskan soal persediaan menghadapi PRN. Kali ini menyaksikan BN bekerjasama untuk kembali berkuasa di Selangor setelah tiada dalam kerajaan sejak 2008. Di Negeri Sembilan pula, BN juga bakal kembali ke tampuk kuasa.

Di Kedah, PH dan BN juga sepakat untuk memastikan kuasa pentadbiran negeri dapat ‘kalih’ sejajar dengan Pusat manakala di Terengganu dan Kelantan, BN mungkin mampu membuat kejutan hasil kerjasama dengan PH.

Dalam hal ini, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata UMNO sebagai parti Melayu terbesar memainkan peranan tersendiri dalam pengukuhan Kerajaan Perpaduan.

Katanya UMNO berjaya membuktikan kewibawaan meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), ia masih terus relevan mendepani turun naik arus politik negara.

“Orang ramai mahu melihat bagaimana sebuah parti orang Melayu yang terbesar di negara ini adakah mampu menyatukan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan supaya terus kekal kuat dan stabil.

“UMNO harus membuktikan kewibawaannya yang mula dikatakan kehilangan sokongan orang Melayu kerana akhirnya rakyat hanya ingin melihat kerajaan yang stabil dan berpadu demi menjaga kestabilan rakyat,” katanya.

Inilah masanya untuk UMNO meyakinkan segmen pengundi Melayu bahawa parti tersebut berjaya menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan dan mempunyai peranan penting kepada kestabilan politik negara.

PAU kali ini juga menjadi medan sejauh mana akar umbi parti menyatakan pendirian mereka terhadap sejumlah bekas warlord parti yang kini berpaling tadah dengan menyertai kem PN.

Ternyata kedudukan UMNO adalah lebih baik apabila berada di dalam kerajaan daripada kekal menjadi pembangkang setelah mengalami kekalahan dalam PRU-15.

Malah dua negeri yang berjaya dikuasai lebih awal – Johor dan Melaka dapat mentadbir dengan lebih baik apabila BN memutuskan bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

Tindakan Perak dan Pahang yang lebih awal membentuk kerajaan perpaduan ternyata juga satu tindakan betul.

Malah UMNO boleh terus bertindak sebagai parti yang mempertahankan kepentingan Melayu/Islam jika mampu mencapai keputusan cemerlang dalam PRN kali ini.

UMNO harus membuktikan bahawa keputusannya memilih membentuk kerjasama bersama PH mampu menguatkan kembali parti itu.

Malah ia merupakan satu pengalaman perjalanan kerjasama politik yang terbaik berbanding gabungan politik Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Pas-Bersatu – kedua-duanya mempunyai hasrat untuk menghapuskan kuasa politik UMNO.

PRN tidak sepatutnya menjadi medan untuk akar umbi UMNO melakukan sabotaj atau menghukum BN kerana mengambil keputusan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH.

Selamat bersidang…

BACA JUGA: Hadi pun ‘Melayu mudah lupa’, dulu minta ahli Pas sokong DAP