Pembangkang dibidas tidak hadir bahas Laporan Audit Negara

Penyokong kerajaan membidas tindakan pembangkang tidak menghadiri sesi perbahasan Laporan Audit Negara yang buat pertama kali dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat petang ini.

Sehingga 30 minit berlangsung, sidang menjadi panas apabila blok pembangkang masih kosong sedangkan laporan tersebut penting untuk dibahaskan kerana ia membabitkan perbelanjaan kerajaan.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, tindakan kerajaan membahaskan laporan audit merupakan satu reformasi Parlimen di mana sepatutnya semua Ahli Parlimen menyambut baik untuk membangkitkan isu penting berkenaan kantung negara.

Ketika membahaskan laporan audit negara, William Leong Jee Kee (PH-Selayang) bersetuju dengan hal tersebut dan mengatakan tidak sepatutnya pembangkang menghilangkan diri dalam sesi penting itu.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pula mengusulkan agar Dewan Rakyat merekodkan ketidakhadiran pembangkang ketika laporan audit negara dibahas buat pertama kali.

“Saya mohon merekodkan ketidakhadiran kesemua pembangkang pada sesi perbahasan Laporan Ketua Audit Negara pada jam 2.47 petang. Semua kerusi kosong.

“Ini sejarah di mana kerajaan membenarkan perbahasan laporan audit negara tapi tak pernah pembangkang nak bahas.

“Amalan membahaskan laporan ini sama seperti Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) yang tidak termaktub dalam peraturan tetap tapi dilakukan kerana kehendak politik (political will),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) pula menegaskan bahawa perbahasan laporan tersebut bukanlah semata-mata berkenaan Putrajaya.

“Pembangkang kata laporan audit hanya berkenaan Putrajaya, barangkali mereka datang tak baca laporan audit,” katanya.

Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pula mendakwa pembangkang takut apabila laporan audit negara mahu dibahas.

Beliau berkata, jika begini sikap pembangkang dengan tiada seorang pun yang hadir, adalah lebih baik jika tiada langsung pembangkang di negara ini.

“Berani buat, berani tanggung. Inilah standard pembangkang dalam Dewan Rakyat. Seorang pun tak ada bangkang hujah kita. Baik pembangkang tak adalah dalam negara kita,” katanya.

Sesi perbahasan kemudian berjalan tanpa kehadiran pembangkang dengan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan mula membahaskan berkenaan ketelusan peruntukan yang diluluskan semasa pandemik Covid-19.