Persoal usaha noktah kemiskinan untuk tutup kegagalan tadbir Kedah
Serangan berterusan yang dilakukan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah dilihat sebagai percubaan untuk menutup kegagalannya mentadbir negeri itu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan kenyataan – kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang turut mempersoalkan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan sebagai usaha menutup kegagalannya sendiri umpamanya isu bekalan air.
“Isu Pulau Pinang milik Kedah dan serang PMX (Anwar) berterusan tujuannya cuma satu .. rakyat Kedah tengah marah fasal isu air. Kemarahan meluas.
“Apa lagi cara Sanusi untuk kalih kemarahan ini?” soalnya di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata Sanusi perlu sedar bahawa rakyat di negara ini tidak naif untuk menelan segala kritikannya termasuk mendakwa Anwar tidak layak bercakap soal kemiskinan tanpa bersandarkan kepada fakta yang sebenar.
“Mari kita renung fakta ini, kali pertama (Anwar) masuk ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) sebab perjuangkan isu kemiskinan Baling.
“Tamat belajar di UM, Anwar terus buka Yayasan Anda di Kampung Kerinchi Kuala Lumpur dan sekolah ini beri peluang kedua kepada pelajar-pelajar yang rata-rata daripada keluarga miskin,” katanya.
Terdahulu, Sanusi yang juga ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional menyifatkan Anwar berangan-angan untuk menoktahkan kemiskinan kerana beliau tidak dilahirkan dalam keluarga yang miskin seterusnya tidak memahami segala permasalahan yang dialami oleh golongan miskin.
Sebelum ini, Anwar mempertahankan Kerajaan Perpaduan pimpinannya mampu menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini.
Anwar berkata sebanyak 130,000 ketua isi rumah miskin tegar akan dapat ditangani dan dinoktahkan pada tahun ini.
Setakat 15 Mac lalu, Anwar memaklumkan sebanyak 123,243 ketua isi rumah miskin tegar sudah dapat dikenal pasti oleh kerajaan untuk dibantu.