Tuntutan ke atas Pulau Pinang hangatkan Dewan Rakyat

Sesi Dewan Rakyat hari ini dijangka hangat berikutan persoalan berkaitan kontroversi yang dicetuskan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Lim Guan Eng (Bagan-PH) di dalam sesi pertanyaan perdana menteri meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tindakan yang perlu diambil ekoran gesaan Sanusi agar Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk membolehkan negeri Pulau Pinang dipadamkan dan diserahkan kepada Kedah.

Menurut Lim, kenyataan Sanusi telah memecahbelahkan perpaduan rakyat Pulau Pinang dan Kedah.

Tindakan Sanusi juga telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang.

Tambahan lagi, perkara yang dibangkitkan Sanusi mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

Pada awalnya Sanusi mendakwa bahawa beliau hanya mengiktiraf sempadan Kedah dengan Perlis dan Perak.

Seterusnya beliau mencadangkan agar pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan dibuat supaya kawasan Pulau Pinang boleh diserahkan kembali kepada Kedah.

Pas akan pertahan Sanusi

Minggu lalu Anwar sendiri menyarankan agar Sanusi berhenti bersandiwara.

Lim pula menyatakan bahawa perkara ini dibangkitkan supaya perhatian rakyat teralih dari kegagalan pentadbiran Pas di Kedah.

RSN Rayer (PH-Jelutong) pula telah pun membuat laporan polis terhadap Sanusi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh yang juga merupakan ahli parlimen dari Pulau Pinang menegaskan keabsahan Pulau Pinang tidak boleh dipertikai.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula bersedia beradu di mahkamah demi kedaulatan Pulau Pinang.

Parti komponen Perikatan Nasional, Gerakan dan Bersatu juga tidak bersetuju dengan Sanusi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas dijangka mempertahankan Sanusi.

Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) turut dipetik media sebagai berkata bahawa partinya tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Sanusi yang juga adalah pengarah pilihan raya Pas.