Tuntutan Sanusi: PDRM, Peguam Negara akan ambil tindakan seterusnya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Pejabat Peguam Negara (AG) akan mengambil tindakan seterusnya, katanya.

Beliau menyatakan bahawa siasatan sedang dilakukan berdasarkan Akta Hasutan dan undang-undang berkaitan.

Beliau juga menempelak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai “seorang yang mempunyai kedudukan tetapi tidak bertanggungjawab” apabila berterusan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan huru hara.

“Mengapa perkara ini dibangkitkan? Apakah kerana nak gelojoh kuasa (menjelang) Pilihan Raya Negeri (PRN), kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan huru hara?

“Ini yang menyebabkan timbul permasalahan. Kita sudah merdeka lebih enam dekad, parti-parti memerintah sama ada Umno-BN, Pas dan PH, mahupun Pas dan PN, tak pernah dibangkitkan..

“Melainkan oleh seorang ketua yang tidak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip undang-undang dan Perlembagaan, dan oleh yang demikian, saya serah sepenuhnya kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan sesuai,” katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) ketika sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut menjelaskan bahawa andaian Pulau Pinang adalah milik Kedah kerana pembayaran adalah salah dari sudut perlembagaan.

“Dalam konteks yang sama kalau kita faham prinsip perlembagaan, kita tidak mungkin bangkitkan lagi.

“Saya setuju dengan pandangan Bagan bahawa hal ini mesti dihentikan dan saya harap dengan kenyataan ini dan siasatan PDRM yang telah diserahkan kepada Peguam Negara, hal ini akan dihentikan kerana ia melanggar prinsip perlembagaan yang diperkenan oleh Raja-Raja Melayu.”

Ikut perlembagaan bukan sejarah

“Kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan bukan negeri pajakan milik Kedah.”

Pada awalnya Sanusi mendakwa bahawa beliau hanya mengiktiraf sempadan Kedah dengan Perlis dan Perak.

Seterusnya beliau mencadangkan agar pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan dibuat supaya kawasan Pulau Pinang boleh diserahkan kembali kepada Kedah.

Pada minggu lalu Anwar sendiri menyarankan agar Sanusi berhenti bersandiwara.

Lim pula menyatakan bahawa perkara ini dibangkitkan supaya perhatian rakyat teralih dari kegagalan pentadbiran Pas di Kedah.

RSN Rayer (PH-Jelutong) pula telah pun membuat laporan polis terhadap Sanusi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh yang juga merupakan ahli parlimen dari Pulau Pinang menegaskan keabsahan Pulau Pinang tidak boleh dipertikai.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula bersedia beradu di mahkamah demi kedaulatan Pulau Pinang.

BACA JUGA: Tuntutan ke atas Pulau Pinang hangatkan Dewan Rakyat