UPSR, PT3 tidak akan dikembalikan, tumpu pentaksiran sekolah

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak akan diadakan semula dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Beliau berkata keputusan itu adalah kerana kementerian buat masa ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“PBS dan PBD memberi ruang dan peluang untuk membangunkan potensi murid secara menyeluruh dan berterusan. Oleh itu, kita tidak akan mengembalikan UPSR dan PT3,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu jika Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang untuk mengembalikan UPSR dan PT3.

Kepada soalan asal Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai langkah untuk mengukuhkan pelaksanaan PBS dan PBD, Hui Ying berkata dapatan daripada libat urus berkenaan hala tuju PBS dan PBD akan dibincangkan dalam sebuah kovensyen yang diadakan hari ini hingga esok.

Hui Ying berkata pihaknya juga telah mengemas kini Buku Panduan Pelaksanaan PBD edisi kedua 2019 dengan melampirkan senarai semak bagi pelaksanaan proses penjaminan kualiti iaitu pementoran, pemantauan, pengesanan dan penyelarasan.

“KPM juga menambah baik komponen pentaksiran psikometrik bertujuan mempersiapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai sebagai asas yang kukuh bagi mereka mengikuti pembelajaran pada peringkat seterusnya,” katanya.

UPSR dan PT3 mula dimansuhkan sepenuhnya oleh bekas Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin pada Jun 2022 sebelum digantikan dengan PBS dan PBD secara menyeluruh.