AMANAH sasar tanding 12 kerusi DUN di Selangor

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyasarkan bertanding 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Selangor, Abbas Azmi berkata, perkara itu sudah dibawa kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, sasaran itu melibatkan lapan kerusi yang disandang parti itu termasuk di kerusi DUN Sabak dan Meru.

“Kita menyasarkan tambahan beberapa kerusi lagi termasuk di DUN Jeram yang sebelum ini dimenangi Bersatu mewakili PH tetapi keluar daripada gabungan.

“Selepas itu, AMANAH telah menjadi Penyelaras di DUN Jeram bagi mewakili kerajaan negeri,” lapor Sinar Harian.

Abbas Azmi

Abbas berkata demikian pada Majlis Penyerahan Borang Keahlian AMANAH di Desa Coalfields dan pada program itu, beliau menerima sebanyak 50 borang ahli baharu AMANAH Cawangan Saujana Aman.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH berkata, pembahagian kerusi itu bagaimanapun tertakluk kepada pucuk pimpinan bagi memuktamadkan agihan kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, AMANAH turut menyasarkan seramai 30,000 ahli baharu parti itu di Selangor tahun ini.

Beliau memberitahu, setakat ini AMANAH mempunyai seramai 17,800 keahlian dan jumlah itu tidak termasuk ahli baharu.

“Peningkatan itu berdasarkan kepada prestasi positif Kerajaan Perpaduan dan kerajaan negeri Selangor yang menyediakan pelbagai inisiatif kepada rakyat,” ujar beliau.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, AMANAH memenangi lapan kerusi iaitu di Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Klang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal dan Taman Templer.

BACA JUGA Rundingan kerusi DUN PH-BN positif, kata MB Selangor

Â