Apa istimewanya Hulu Langat ni? – Pembangkang bengang Sany bersuara lantang

Seorang ahli Parlimen pembangkang meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengambil tindakan terhadap Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) selepas berulang kali menaikkan kemarahan blok itu.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) ketika membacakan peraturan mesyuarat, bertanya apa istimewanya Sany kerana tidak pernah dikenakan tindakan selepas beberapa kali dikatakan sering mencelah, menyerang pembangkang.

“(Hulu Langat) sudah melakukan tabiat sama, terlalu banyak amaran (diberikan kepadanya).

“Perlu tindakan lebih keras dari amaran setiap hari. Apa special sangat Hulu Langat ni?” soal Ronald yang juga Pengerusi PN Sabah.

Pertelingkahan itu timbul ketika Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mohd Yunus Sakmud mengulangi kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa mana-mana kerajaan negeri yang mahu berurusan dengan Kerajaan Persekutuan perlulah secara beradab.

Ia sebagai menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang bertanya mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim mendiamkan diri ketika Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mahu berbincang mendapatkan persetujuan berkaitan peluang pelaburan di negeri itu.

“Saya fikir soalan ini sudah dijawab Perdana Menteri Tambun semalam bahawa beliau sedia berbincang dengan mana-mana pihak pun tapi perlu secara beradab. Saya fikir ini juga sudah difahami,” kata Mohd Yunus.

Sany kemudian mencelah, bersetuju dengan hal tersebut dan mengatakan Arau tiada adab.

“Arau memang tak ada adab, semalam sebut orang bangang,” katanya merujuk pertelingkahan semalam di mana Shahidan melempar kata kesat kepada Sany.

Susulan peraturan mesyuarat dibangkitkan pembangkang, Johari memberitahu akan mengambil maklum hal tersebut dan memberi amaran pertama kepada Sany.

“Saya ambil maklum dan rekodkan. Saya akan rekodkan setiap amaran. Setakat ini Hulu Langat (diberi) amaran pertama.

“Masuk amaran ketiga saya tak akan bagi pelepasan lagi baik di sebelah pembangkang dan kerajaan,” ujarnya yang kemudian mententeramkan keadaan.

BACA JUGA Dewan Rakyat kecoh, PN guna peraturan mesyuarat pertahan Sanusi

Â