Isu kalimah Allah akan dibawa kepada MKI Ogos ini, kata PM Anwar

Isu penggunaan kalimah Allah akan dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Baginda Sultan Selangor.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini berkata, Baginda Sultan Selangor telah bersetuju membawa perkara ini untuk dibincangkan dalam majlis berkenaan pada Ogos ini sebelum ia diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober pula.

“Justeru, saya sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang menghadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak,” kata Anwar dalam kenyataan itu.

Kerajaan juga, katanya, memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

PM Anwar telah menghadap DYMM Sultan Selangor hari ini dan menyembah maklum kepada Baginda berhubung keputusan Kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.

Dalam sesi menghadap tersebut, ANwar telah menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menghormati undang-undang yang berkuatkuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan.

Selepas berbincang dengan Sultan Selangor, kata PM Anwar, beliau menghormati pandangan Baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.