LKAN: Pembangkang tolak peluang lakukan semak imbang

Tindakan pembangkang menolak usul malah memboikot perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 di Dewan Rakyat semalam adalah mengejutkan, kata Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Naib Presiden AMANAH berpendapat pendirian Perikatan Nasional (PN) itu mengecewakan kerana peluang yang selama ini dinantikan tidak disokong oleh pembangkang.

“Sepatutnya, isu bersifat rentas blok demi ketelusan. Namun, ia adalah gambaran sebenar PN/Pas gagal membawa reformasi Parlimen yang sepatutnya diperjuangkan oleh semua MP yang terpilih oleh rakyat.

“Tugas besar pembangkang khususnya ialah melakukan semak imbang, tetapi apabila peluang diberi oleh kerajaan, pembangkang pula yang menolaknya,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, LKAN bersifat objektif dalam siasatannya dan meletakkan standard tatakelola kewangan yang telus dalam menilai bagaimana agensi Persekutuan, kementerian dan agensi negeri membelanjakan kewangan masing-masing.

Semalam, pembangkang mempersoal tindakan kerajaan membawa usul supaya dibahaskan LKAN 2021 di Dewan Rakyat dengan menganggap keputusan itu bercanggah dengan Perkara 107 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan,berkata peruntukan Perlembagaan itu menetapkan LKAN perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, LKAN membekalkan format yang telus dan bebas sebagai rujukan terbaik untuk mendapat maklumat keberkesanan perbelanjaan dana awam.

“Isu penyelewengan wang negara akan dapat dikesan, malah akan menjadi sebahagian daripada laporan yang dikemukakan di Parlimen,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat rakyat mahu mendengar bagaimana dana awam dibelanjakan dan perlu dibahaskan di Parlimen.

“Sebelum ini LKAN hanya diletakkan di atas meja MP tetapi tidak dibahas.

“Banyak maklumat penyelewengan dana awam dilontarkan sebagai isu politik di luar dewan. Perbahasan di Parlimen akan menjadi lebih berfokus dan objektif,” ujarnya.

Tambahnya, beliau semasa menjadi ahli Parlimen dan anggota Dewan Rakyat yang lain sentiasa menuntut supaya LKAN dibahas dalam Parlimen bagi tujuan ketelusan supaya rakyat mengetahui isu-isu salahguna dana awam.

BACA JUGA Bahas laporan Ketua Audit Negara sebahagian proses reformasi