Malaysia menang isu tuntutan Sulu: Kerajaan Perpaduan mampu betulkan kerosakan

Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengucapkan setinggi-tinggi tahniah susulan kejayaan Malaysia dalam pertikaian mahkamah berkait tuntutan waris ‘Sultan Sulu’ terhadap Sabah.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru tersebut berkata, kejayaan negara dalam Mahkamah Rayuan Paris itu semalam bukti kemampuan Kerajaan Perpaduan membetulkan kepincangan pentadbiran tiga kerajaan sebelum ini.

“Kejayaan negara, ikut kenyataan Menteri Datuk Azalina, adalah hasil usaha dan kerjasama dua lagi menteri dan kementerian – Datuk Zambry Kadir (Kementerian Luar) dan Fahmi Fazil (Kementerian Komunikasi).

“Terbukti Kerajaan Perpaduan mampu membetulkan kerosakan peninggalan Kerajaan PH 1.0 dan kealpaan dua pentadbiran selepas itu,” katanya di Facebook pagi ini.

Shahrir merujuk “Kerajaan PH (Pakatan Harapan) 1.0” kepada pentadbiran kerajaan hanya 22 bulan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum meletak jawatan pada 24 Februari 2020.

Selepas itu, Perikatan Nasional (PN) melalui gerakan digelar ‘Langkah Sheraton’ merampas kuasa daripada PH untuk menubuhkan kerajaan yang dikepalai Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Pergolakan politik yang berlanjutan seterusnya menyaksikan tampuk kerajaan beralih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos 2021.

Mengulas lanjut, Shahrir menegaskan bahawa keselamatan negara dan rakyat barangkali terjejas jika Mahathir dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas masih di Putrajaya.

“Bayangkanlah kalau Tun Mahathir dan Tommy Thomas masih berada di tampuk pemerintahan negara!

“Kesudahannya mungkin membahayakan negara dan rakyat! Tahniah Kerajaan Perpaduan!” katanya sekali lagi.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa keselamatan tanah air terjamin dengan syarat usaha membetulkan kepincangan kerajaan terdahulu diteruskan.

“Masih banyak lagi kedurjanaan peninggalan pentadbiran Tun Mahathir dan Kerajaan PH 1.0,” tambah Shahrir lagi.

BACA JUGA Mahkamah Rayuan Perancis tolak tuntutan waris Sultan Sulu

BACA JUGA Malaysia sedia maklumat lengkap, tepat kes tuntutan waris Sultan Sulu