Menteri yakin Malaysia boleh capai sasaran SSL beras negara

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yakin Malaysia boleh mencapai sasaran Tahap Sara Diri (SSL) dalam sektor kecukupan beras jika penanam padi menumpukan cara penanaman moden dan baharu.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga bulan lagi iaitu pada September, pihaknya sendiri akan melihat hasil tuaian padi di Perlis yang dilaksanakan di bawah program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ala Sekinchan.

Jika tuaian padi di Perlis berhasil meraih sehingga tujuh tan metrik perhektar, kata Mohamad, program itu akan terus diperluas ke negeri-negeri lain dalam usaha mencukupkan bekalan beras dalam negara.

“Kita dalam usaha untuk mencukupkan bekalan beras sekurang-kurangnya kita capai SSL.

“Pelbagai usaha sedang dibuat sekarang ini, antaranya melaksanakan program Smart SBB.

“Saya lihat keadaan di Sekinchan, mereka dapat tuai sampai 10 tan metrik untuk satu hektar. Kadang-kadang sampai 12 tan.

Mohamad ketika meninjau industri padi dan beras di Selangor baru-baru ini.

“Paling rendah pun tujuh tan, sedangkan di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) masih sekitar lima tan.

“Sebab itu, saya dan pegawai menggerakkan pendekatan ala Sekinchan ini ke tempat-tempat lain. Salah satunya kita bawa ke Perlis. 170 hektar tanam padi ala Sekinchan dan sekarang sudah berumur sebulan.

“Bila hasilnya bulan September nanti, saya sendiri akan turun untuk melihat tuaian padi itu, apakah ia capai melebihi tujuh tan di kawasan itu.

“Kalau ianya capai, ertinya ala Sekinchan ini kita akan kembangkan ke seluruh negara supaya kita dapat mencukupkan beras pada masa akan datang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang bertanya langkah untuk menambah baik kedudukan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) Malaysia dan untuk memastikan bekalan bahan makanan penting seperti telur, gula dan beras mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Mohamad berkata, anak muda telah mula bergiat aktif dalam pertanian dan untuk menyokong kesungguhan itu, pihak kementerian akan sentiasa memberikan inisiatif dan bantuan kepada mereka.

“Saya yakin dan seyakinnya, Malaysia boleh cukupkan beras kalau tumpu cara-cara moden, cara baru dan kerjasama penanam padi yang kita lihat sedang meningkat,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bahawa harga beras putih yang didakwa naik sehingga lima peratus bukan “beras rakyat”, sebaliknya adalah beras import untuk mereka yang mampu membelinya.

“Sekarang ini heboh tentang beras putih naik harga lima peratus. Saya beri jaminan yang naik itu adalah harga beras import yang berkualiti tinggi untuk makanan orang yang berada.

“Untuk orang awam dan rakyat Malaysia, kadar beras adalah terjamin sekitar RM2.60 sekilo,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Harga jualan beras dijamin kekal rendah

Â