Peruntukan Kerajaan Madani RM500,000 kepada bidang Pengajian Melayu lahir lebih ramai cendekiawan

Dana khas sebanyak RM500,000 daripada Kerajaan Madani kepada Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), dilihat boleh dimanfaatkan bagi memartabatkan pengajian Melayu.

Dekan APM, Prof Madya Dr Sabzali Musa Kahn berkata, ia termasuklah mengangkatnya menjadi bidang dan disiplin ilmu yang strategik sehingga setara dengan bidang pengajian yang lain.

Beliau berkata, peruntukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu juga secara langsung dapat melahirkan golongan cendekiawan yang cemerlang dan berjaya dalam Pengajian Melayu pada masa hadapan.

Menerusi dana khas tersebut katanya, para pelajar dapat meneroka pengajian-pengajian baharu yang menjurus kepada dunia Melayu seiring dengan situasi semasa.

“Seterusnya dapat memperkasakan pengajian Melayu agar menjadi satu disiplin ilmu yang semakin diminati, jurusan yang disegani dan menjadi pelaburan terbaik negara untuk masa depan.

“Jadi, mereka (pelajar) boleh menyesuaikan diri dengan perkara baharu dalam Pengajian Melayu dan ia secara tidak langsung akan menambah nilai kepada bidang-bidang pengajian tersebut.

Bersesuaian dengan kebolehpasaran, sekaligus akan memberi sumbangan yang jelas dan terlihat kepada bangsa dan negara,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Dr Sabzali (kiri sekali) bersama Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pentadbiran Universiti Malaya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai peruntukan khas yang diberikan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada APM UM tempoh hari.

Mengulas lanjut, Dr Sabzali berkata, bantuan tersebut membolehkan pihaknya menyediakan pelajar yang mempunyai ilmu lebih mendalam menerusi beberapa kaedah.

“Antaranya dengan cara membuat lawatan bertujuan memberi pendedahan kepada mereka tentang bagaimana untuk meneroka pengajian berkaitan Melayu bukan hanya dalam negara, tetapi juga di luar negara.

“Lawatan ilmiah seperti ini dapat meletakkan APM ini di landasan yang strategik ialah kerana banyak nilai dan prinsip pegangan hidup orang Melayu sebenarnya melangkau masa dan zaman.

“Oleh itu, saya lihat mereka akan bersikap lebih terbuka, selain mempunyai pemikiran yang lebih inovasi apabila menilai sesuatu perkara.

“Maka, secara tidak langsung pelajar akan memperoleh ilmu pengetahuan di luar sempadan daripada cara tradisi kepada situasi semasa yang moden, sesuai dengan teknologi masa kini sama ada dalam negara atau di luar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Sabzali menyifatkan, terdapat banyak lagi bidang-bidang dalam Pengajian Melayu yang tidak diselidik secara lebih mendalam, justeru peruntukan sedemikian dilihat amat penting.

Oleh itu. katanya, para penyelidik, pendukung dan ahli pengajian Melayu perlu menggalas tanggungjawab yang dinyatakan untuk mengembangkan disiplin itu, seterusnya menawarkan pelbagai solusi terhadap pelbagai isu dan cabaran nasional serta global.

Dengan wang yang disalurkan itu, beliau berkata, pihaknya juga akan bertindak lebih jauh lagi iaitu dengan mencari dan mentafsir serta mengembangkan ilmu yang berkaitan dengan dunia Melayu.

“Ianya menjadikan pengajian Melayu ini lebih dinamik, bernas dan berupaya untuk bergerak seiring dengan perubahan zaman.

“Kita lihat banyak juga naskhah manuskrip lama yang masih lagi tidak dikaji dengan mendalam termasuk naskhah yang melibatkan kepentingan negara, perundangan, agama, sosial dan budaya serta lain-lain.

“Jadi, dengan adanya peruntukan ini, maka kami boleh menggunakan dana tersebut untuk tujuan perkara-perkara seperti yang saya sebutkan itu.

“Seterusnya ikhtiar membangun, memperkasa dan melestarikan Akademi Pengajian Melayu dengan lebih strategik peranannya pada masa hadapan,” ujarnya lagi.

Pada 30 Mei lalu, sebanyak RM500,000 disumbangkan KPT kepada APM bertujuan membangun, memperkasa dan melestarikan akademi tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu juga demi memastikan penubuhan semula Kerusi Za’ba.

BACA JUGA Dana khas RM500,000 kepada Akademi Pengajian Melayu tanda kerajaan Madani prihatin